• 2025-10-12 07:20 PM

KUANTAN: Empat anggota dan pegawai polis termasuk seorang wanita yang bertugas di Pahang ditahan dan dipercayai positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sini semalam.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata tangkapan berkenaan dilakukan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Saya sahkan kes itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan,“ katanya ringkas ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan empat individu terbabit masing-masing dua pegawai dan anggota berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu dipercayai berada dalam satu bilik karaoke di premis berkenaan ketika serbuan dilakukan.

Difahamkan, kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan direkodkan. – Bernama