KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Beliau berkata bantuan ini merupakan ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain sebagai penghargaan kepada rakyat. “Ini memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion,“ jelasnya.
Anwar menekankan bahawa jumlah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk tahun ini. “Ini kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa,“ ujarnya.
Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember 2025 di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus’s, Econsave, dan 99 Speedmart serta kedai runcit di seluruh negara.
“Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400,“ jelas Anwar dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung menerusi saluran utama termasuk RTM, Bernama, dan media sosial. - Bernama