• 2025-07-15 09:20 PM

KUALA LUMPUR: Waris tunggal keluarga mangsa tragedi Sungai Korok di Kedah disahkan layak menerima dua jenis bantuan kewangan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Bantuan ini diberikan berdasarkan caruman bapa mangsa, Allahyarham Mohamad Azim Izat Ishak, 31, yang merupakan pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Menurut kenyataan Perkeso, anak sulung mangsa, Putri Qisya, layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 sebagai bayaran sekali sahaja. Selain itu, dia juga berhak mendapat pencen bulanan RM576.25 sehingga berusia 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama.

Perkeso turut menyatakan rasa simpati mendalam terhadap keluarga mangsa dan berjanji untuk terus memberikan sokongan jangka panjang.

“Kami sedang merancang bantuan tambahan termasuk intervensi pendidikan serta penjagaan emosi dan psikososial menerusi Program Sinergi Sosial,“ menurut kenyataan rasmi itu.

Tragedi ini berlaku pada 5 Julai lalu apabila kereta Proton Iswara yang dinaiki ibu bapa Putri Qisya bersama empat adiknya dipercayai terbabas dan terjunam ke Sungai Korok di Kampung Kemboja, Kedah. Kesemua enam ahli keluarga ditemui maut dalam kejadian tersebut.