KUALA LUMPUR: Orang ramai yang mengikuti siaran langsung Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim menerusi “wayang pacak” yang pertama kali diadakan teruja menyaksikan istiadat berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat Raja-Raja Melayu.

Seawal 8.30 pagi, penduduk mula berkumpul untuk menyaksikan wayang pacak yang melibatkan tayangan pada skrin besar diadakan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai di Bangsar di sini.

Seorang bekas wartawan yang juga penduduk PPR Loh Boon Shuan, 68, berkata program tersebut meningkatkan lagi kefahaman dan pengetahuannya terutama berkaitan institusi diraja serta Perlembagaan Persekutuan.

“Selain tayangan istiadat pertabalan terdapat juga kuiz kenegaraan berkaitan perlembagaan dan isu semasa, sambil tengok istiadat kita boleh dapat ilmu.

“Istiadat ini merupakan peristiwa penting buat rakyat. Sebelum ini saya berpengalaman melihat dan membuat liputan beberapa istiadat seperti ini, tapi kali ini dapat tengok bersama kawan-kawan,” katanya kepada Bernama.

Bekas pemandu lori N. Silvaraju, 64, pula berkata tayangan “wayang pacak” itu perlu diteruskan pada masa akan datang kerana ia dapat memberi pendedahan mengenai institusi diraja kepada generasi muda.

“Istiadat ini lima tahun sekali, setiap kali itulah saya bersemangat untuk menonton di televisyen tapi kali ini lebih menarik kerana boleh lihat pada skrin besar beramai-ramai di PPR kami. Hari ini saya bawa anak untuk hadir,” katanya.

Selain tayangan istiadat pertabalan, program anjuran Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Parlimen Lembah Pantai turut memberi pendedahan dan maklumat berkaitan fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kepada rakyat PPR dengan lebih jelas.

Pengarah Jabatan Penerangan Kuala Lumpur dan Putrajaya Sabarudin Yeop Hamza memaklumkan sebanyak 11 NADI di tiga Wilayah Persekutuan terlibat dalam “viewing party” atau wayang pacak itu secara serentak di Parlimen masing-masing.

“Kita libatkan semua komuniti MADANI dengan beberapa aktiviti seperti kuiz berkaitan institusi diraja, Perlembagaan Persekutuan dan isu semasa selain bertujuan untuk menyemarakkan lagi istiadat ini.

“Ini proses mendidik masyarakat dengan adat dan istiadat negara kerana kalau di London ada Buckingham Palace, di Malaysia kita ada Istana Negara yang tidak kurang hebatnya,” katanya.

Sultan Ibrahim selamat ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam suasana istiadat penuh tradisi di Istana Negara yang merupakan lambang kemegahan sistem Raja Berperlembagaan di negara ini.