KUALA LUMPUR: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) melalui Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan (JPWP) menganjurkan Program Kesedaran Awam Penghijauan Malaysia di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL) hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JPSM Datuk Zahari Ibrahim berkata program sempena Larian Kuala Lumpur ‘Forest Eco Park Endurance’ (KLFEPE) 2024 itu dianjurkan serentak dengan ‘Hijo Running Club’ (Projek Hijo), selaku penganjur acara larian pada kali ini.

“Tujuan penganjuran program itu untuk menyemarakkan sokongan kepada agenda Penghijauan Malaysia melalui program kesedaran awam Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.

“Menerusi program ini, pihak JPWP melaksanakan aktiviti penanaman dan agihan sebanyak 50 anak pokok kepada peserta larian tempatan dan antarabangsa serta sukarelawan TERKL,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan sesi pelepasan peserta acara larian KLFEPE di sini.

Sementara itu, 77 peserta dari dalam dan luar negara menyertai program larian KLFEPE yang mempertandingkan pelbagai kategori antaranya 6.3 kilometer (km) ‘Fun Run’ (terbuka lelaki dan wanita serta veteran lelaki dan wanita) dan 6.3 km ‘Ultra’ (lelaki dan wanita serta veteran lelaki dan wanita).

Zahari berkata KLFEPE ini seiring dengan hasrat Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) untuk membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan semua pihak terutamanya yang kerap menjalankan aktiviti lasak seperti sukan larian untuk melibatkan diri dalam program penghijauan Malaysia dengan membudayakan aktiviti penanaman pokok.

“Saya berharap program ini akan diadakan dengan lebih kerap pada masa akan datang. Mana-mana syarikat mahupun persatuan amat dialu-alukan untuk bersama-sama meneruskan program penghijauan Malaysia ini,“ katanya.

TERKL kini turut menawarkan aktiviti penanaman pokok kepada orang awam yang berminat sebagai tanda sokongan terhadap usaha penghijauan alam selari dengan konsep hutan pendidikan alam semula jadi dan pemeliharaan khazanah biodiversitinya yang tiada di taman lain.

TERKL terletak di Hutan Simpan Bukit Nanas (HSBN) dengan keluasan 9.37 hektar dan merupakan antara kawasan hutan tertua di Semenanjung Malaysia selain Hutan Simpanan Kekal (HSK) di bawah JPSM dan diurus tadbir oleh JPWP.