IPOH: Yayasan Pelajaran MARA (YPM) menyalurkan bantuan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada waris pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berdekatan Tasik Banding, Gerik, awal pagi Isnin.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata bantuan itu bertujuan meringankan beban keluarga mangsa.
“Hari ini saya berkesempatan mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menziarahi mangsa kemalangan bas melibatkan pelajar-pelajar UPSI di JRTB dan menyampaikan bantuan.
“Jadi harapnya sumbangan RM1,000 secara segera ini dapat mengurangkan bebanan keluarga-keluarga yang datang hari ini untuk menziarahi mangsa kemalangan yang cukup menyayat hati kita semua,“ katanya dalam catatan di Facebooknya hari ini.
Sebanyak 15 pelajar UPSI maut dalam kejadian membabitkan sebuah bas persiaran dengan sebuah Perodua Alza pada kira-kira 1.10 pagi di JRTB, berdekatan Tasik Banding, Gerik.
Semasa kejadian, bas berkenaan yang membawa 42 pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju ke kampus universiti di Tanjung Malim, Perak.