JOHOR BAHRU: Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) telah menyerahkan sumbangan berupa 2,000 tilam lipat, 200 unit cerek elektrik dan 1,000 helai kemeja-T kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor.
Majlis penyerahan sumbangan itu berlangsung di Dewan Taman Pulai Utama, Skudai dan disampaikan oleh Pemegang Amanah Urusan YSIJ Datuk Avinderjit Singh kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) Datuk Ismail Abu.
Sumbangan ini merupakan persediaan awal untuk menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada akhir tahun ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Penolong Pesuruhjaya (PA) Kamal Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian.
Ismail Abu yang juga Timbalan Pengerusi JPBN menzahirkan penghargaan atas keprihatinan YSIJ terhadap rakyat Johor khususnya mangsa bencana.
Beliau menyatakan kesyukuran atas sumbangan tersebut kerana ia dapat membantu menyelesaikan masalah kekurangan barangan keperluan asas bagi mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
Sumbangan ini juga diharap dapat memberikan keselesaan kepada mangsa dan petugas yang terlibat dalam operasi bantuan bencana.
Mohd Anizam Jamian pula berkata YSIJ sentiasa bersedia menghulurkan bantuan sekiranya berlakunya bencana di Johor.
Keutamaan yayasan tersebut adalah bagi membantu melengkapkan keperluan asas mangsa yang terlibat dalam bencana alam. – Bernama