PETALING JAYA: Seorang pakar pediatrik memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin hanya boleh bertutur 30 perkataan dan masih belum boleh menyambung perkataan yang mana keadaan itu tidak selari dengan perkembangan kanak-kanak berumur enam tahun.
Dr. Bernice Lim Pei-Yi, 37, yang bertugas di Pusat Perubatan Pakar Sri Kota, Klang, berkata pada 20 Dis 2023, beliau telah diarahkan untuk menulis laporan pesakit bernama Zayn Rayyan Abdul Matin.
“Disebabkan saya tidak pernah berjumpa dengan pesakit tersebut, laporan perubatan telah ditulis berdasarkan dua nota perubatan yang direkodkan dalam sistem komputer hospital.
“Berdasarkan nota-nota tersebut, kali pertama pesakit dibawa ke Klinik Pediatrik Hospital Selayang adalah pada 4 Okt 2022 dan kali kedua (terakhir) pada 5 Sept 2023.
“Pesakit tersebut telah didiagnosis dengan ‘Autism Spectrum Disorder’ dan disarankan untuk menghadiri terapi bagi penyakit tersebut,“ kata saksi pendakwaan ke-24 itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Sabrina Zubairi.
Dr. Bernice, 37, bekas pakar pediatrik di Hospital Selayang dari 2020 hingga 2024, memberi keterangan pada hari ke-13 prosiding perbicaraan pertuduhan pengabaian yang dihadapi oleh Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Beliau berkata bahawa jika seseorang pesakit berusia enam tahun seperti Zayn Rayyan tidak dapat menunjukkan perkembangan yang selari dengan usianya, dia disahkan mengalami kelewatan perkembangan (developmental delay).
Sementara itu, bekas pegawai penyiasat kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, ASP Nor Zaharuddin Sanip, 42, memberitahu mahkamah bahawa ibu Zayn Rayyan, Ismanira gagal memberi jawapan bagaimana anaknya boleh hilang selepas beliau bertanyakan beberapa soalan kepada wanita tersebut pada pukul 10 malam, 5 Dis 2023.
“Jadi saya arahkan Insp. Nina untuk teruskan rakaman percakapannya,“ kata saksi pendakwaan kelima itu semasa pemeriksaan semula oleh TPR Aqharie Durranie Aziz.
Menjawab soalan peguam Haresh Mahadevan, yang mewakili pasangan suami isteri itu, Nor Zaharuddin, yang kini bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Klang Utara, menafikan beliau menghadapi tekanan daripada pihak atasan supaya kes Zayn Rayyan dapat diselesaikan dengan cepat.
“Penglibatan saya hanya dalam pencarian arwah Zayn Rayyan pada 5 dan 6 Dis 2023,” kata saksi itu sambil menambah bahawa beliau hanya memfokuskan siasatan kepada kes orang hilang.
Sebelum perbicaraan bermula, Ismanira dan Zaim Ikhwan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan kerana mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya selepas pertuduhan itu dibacakan semula kepada mereka.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, hingga ke kawasan sungai berdekatan apartmen itu antara pukul 12 tengah hari, 5 Dis dan 9.55 malam, 6 Dis 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.
Perbicaraan bersambung pada 7 April ini.