SUNGAI PETANI: Penduduk di sekitar Bukit Selambau menyangka bunyi letupan kuat yang beterusan susulan kebakaran sebuah kilang malam tadi, adalah latihan menembak oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Normah Che Noor, 60, seorang penduduk Kampung Penghulu Tua berkata selepas bunyi letupan tidak berhenti, dia bertindak keluar rumah dan melihat dari jauh api menjulang tinggi dan menyedari sebuah kilang mengalami kebakaran.
“Kebetulan pusat latihan RELA terletak tidak jauh dari situ...bila dengar banyak kali tak habis-habis meletup, saya tanya suami kenapa latihan RELA lama sangat.
“Saya dan suami kebetulan nak ke pekan Kuala Ketil, jadi kami naik kereta pusing dulu dekat kawasan kejadian nak tengok dari dekat apa yang berlaku...dari jauh nampak asap merah hitam, rasa bahang, kami tak pergi dekat sebab takut, nampak juga percikan bunga api seolah-olah pertunjukan pula,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Rosnani Shaari, 54, berkata kebakaran itu disedarinya kira-kira 7.40 malam dan ia dapat dilihat dengan jelas dari rumahnya yang terletak tidak jauh dari lokasi kebakaran.
“Mula-mula ingat Sekolah Kebangsaan Bukit Selambau yang terbakar, kami lalu depan sekolah tetapi tiada apa-apa, ke depan sikit baru nampak kilang yang terbakar.
“Letupan dan percikan bunga api berpanjangan sampai tengah malam pun ada lagi, malah ketika anak saya meninjau ke lokasi sekitar 2 pagi pun masih ada letupan dan percikan bunga api,” katanya.
Sementara itu, seorang kakitangan sebuah kilang di situ, Tan Ah Chong, 42, dia terdengar bunyi seperti tembakan pada 7.40 malam tadi.
“Saya ada dalam pejabat, bila dengar bunyi tembakan, disebabkan rasa takut saya dan seorang lagi rakan terus lari keluar dari pejabat untuk menyelamatkan diri.
“Bila agak jauh baru saya berani berhenti dan berpaling ke belakang...saya nampak api besar..rupanya kilang bersebelahan yang terbakar,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati setakat ini bomba masih menjalankan kerja-kerja overhaul di lokasi kejadian dan masih terdapat tompokan asap yang keluar daripada kawasan kebakaran.
Tiga buah gudang yang menempatkan barangan terpakai berupa logam tembaga dan wayar di sebuah kilang di Bukit Selambau dekat sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Kebakaran itu menyebabkan berlaku letupan dan percikan ‘bunga api’, sebelum pihak bomba berjaya mengawal kebakaran itu pada 10.02 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. -Bernama