JEMPOL: Cadangan pembinaan Lebuh raya Seremban-Jempol akan dibentangkan pada kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) pada bulan hadapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar).
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga akan meneliti keadaan ekonomi semasa sebelum sebarang keputusan berkaitan projek berkenaan dilakukan. Insya-Allah dalam masa setahun, jika ekonomi kita meningkat, kita akan bina lebuh raya Madani, Lebuh raya Seremban-Jempol ini,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika merasmikan Karnival Segalanya Felda Peringkat Felda Wilayah Raja Alias di Dataran Seri Jempol di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Komunikasi dan Multimedia Fahmi Fadzil dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Anwar dalam ucapannya turut mengumumkan sumbangan RM1 juta oleh kerajaan bagi cadangan pembinaan Kompleks Komuniti Setempat di Felda Serting Hilir, di sini.
“Kompleks ini nanti akan menempatkan pusat hemodialisis, pusat sukan, perpustakaan, kemudahan penginapan serta dewan makan.
Kemudahan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 157 pesakit daripada dalam kalangan warga Felda di sini dan juga kepada pesakit-pesakit lain yang berdekatan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM550,000 setiap tahun bagi penyelenggaraan 2,678 lampu jalan yang terdapat di Felda Wilayah Raja Alias.
Gugusan Felda Wilayah Raja Alias menempatkan 16,432 orang peneroka di 49 buah rancangan. -Bernama