Your Title

BANTING: Setiap kali jarum jam melewati pukul 7 pagi, Tonjoi Pipis pastinya akan bergegas menyiapkan diri untuk masuk ke dalam hutan yang terletak kira-kira satu kilometer dengan menunggang motosikalnya.

Beliau tinggal di perkampungan Orang Asli Pulau Kempas yang terletak sekitar 21.5 kilometer dari Pekan Banting.

Masa bagi Tonjoi, 51, dari suku kaum Temuan adalah ‘emas’ dan beliau sedikit pun tidak mahu terlambat untuk ke kawasan rayau masyarakat Orang Asli itu kerana ada banyak perkara yang perlu dilakukannya.

Di samping bercucuk tanam, beliau masuk hutan bukan setakat mencari sumber rezeki tetapi “lebih daripada itu”.

Bapa kepada tujuh orang anak ini yang juga merupakan Pengerusi Sahabat Hutan Gambut Kuala Langat Utara (SHGKLU) memberitahu Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini, “semua yang dilakukan bagi memastikan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) akan terus menjadi warisan generasi Orang Asli masa depan.”

Sejak tahun 2014 lagi, hampir setiap hari, beliau bersama penduduk kampung bermandikan keringat untuk memulihara dan memelihara hutan ini akibat kebakaran besar yang pernah berlaku sekitar tujuh tahun lalu.

“Rutin kami bermula sekitar pukul 8 pagi sehinggalah lewat petang dengan pelbagai aktiviti pemulihan seperti menanam pokok Tenggek Burung di kawasan terosot, melakukan pemantauan daripada sebarang pencerobohan dan pembakaran serta membina sekatan parit untuk menaikkan paras air dalam tanah gambut di HSKLU.

“Malah, masyarakat di sini juga dididik cara betul memelihara hutan ini dengan baik seperti mengelak melakukan aktiviti berisiko kebakaran. Sebenarnya, proses rehabilitasi hutan ini telah berjaya dan kerana itu kami tidak faham mengapa hutan ini hendak dimusnahkan,” katanya kepada Bernama sambil menambah agensi kerajaan, swasta dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar banyak memberi mereka tunjuk ajar bagi memelihara dan memulihara hutan.

Semuanya demi ‘survival’ HSKLU, untuk menjamin kelangsungan hutan yang bukan sahaja warisan nenek moyang mereka tetapi juga adalah “paru-paru hijau” terakhir di selatan Selangor.

Justeru, beliau dan penduduk kampung berdekatan terkejut apabila mendapat berita kerajaan negeri Selangor bercadang untuk menyahwartakan status HSKLU bagi tujuan projek pembangunan bercampur.

Bagi beliau dan penduduk kampung yang lain, sukar sekali untuk menerima alasan bahawa 40 peratus kawasan hutan (HSKLU) sudah tidak lagi mempunyai elemen hutan dara selain kebakaran yang kerap berlaku.

Kebakaran besar

Diwartakan sejak tahun 1927, hutan paya gambut HSKLU yang terletak di Mukim Tanjung 12, Daerah Kuala Langat, Selangor dilaporkan pernah mencatatkan beberapa insiden kebakaran dalam tempoh 10 tahun.

Berdasarkan rekod dari tahun 2012 sehingga 2017, kerajaan negeri memaklumkan kawasan hutan di sini telah terbakar seluas 359.60 hektar atau 888.21 ekar yang sekali gus menjadikan sebanyak 30 hingga 40 peratus daripada keseluruhan HSKLU dikatakan mengalami kemerosotan akibat kebakaran berkenaan.

Pada tahun 2014 sahaja, satu kebakaran besar dilaporkan berlaku di hutan tersebut, melibatkan kawasan seluas 132 hektar berbanding tahun sebelumnya (2013) hanya sekitar 82 hektar dan 50 hektar, pada tahun 2012. Perangkaan ini adalah berdasarkan Statistik Keluasan (ha) Kebakaran Hutan di dalam HSKLU 2012 hingga 2021, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).

Melihat kepada data tersebut, pastinya situasi ini menimbulkan kebimbangan tentang nasib HSKLU yang asalnya berkeluasan 7,246.96 hektar, dan kini mengecil saiznya kepada sekitar 957.63 hektar sahaja.

Kemerosotan keluasan ini akibat daripada pembangunan pesat di sekeliling hutan berkenaan yang memberi tekanan kepada HSKLU, antaranya projek Gamuda Cove (sebelah selatan), perumahan Saujana Putra (sebelah utara), Leburaya ELITE (sempadan timur) dan ladang Bukit Cheeding (BOH Plantations Sdn Bhd) di sebelah barat laut.

Malah, kerajaan negeri juga sebelum ini tidak menafikan bahawa pelbagai aktiviti pembangunan guna tanah yang pesat di sekeliling hutan ini menjadi antara faktor ancaman ke atas pengekalan hutan tersebut.

Bukan halangan

Biarpun berlaku beberapa siri insiden kebakaran di hutan berkenaan namun penduduk kampung serta pihak berkepentingan tidak sekadar berpeluk tubuh dan membiarkan khazanah alam berusia 8,000 tahun ini terbiar begitu sahaja.

Apatah lagi, apabila menyedari bahawa HSKLU adalah “paru-paru hijau” terakhir di selatan Selangor. Tambahan, ia masih mempunyai ekosistem hutan paya gambut paling penting serta stabil dalam memainkan peranannya melestarikan alam serta mitigasi pemanasan global untuk kesejahteraan hidupan manusia.

Selain itu, ia masih kaya dengan kepelbagaian flora seperti pokok Meranti Bunga (Shorea Teysmanniana) dan Meranti Bakau (Shorea uliginosa) yang disenaraikan sebagai ‘terancam kritikal’ dan ‘terancam,’ (Critically Endangered and Endangered) di bawah senarai merah tumbuhan Malaysia - Dipterocarpaceae Semenanjung Malaysia.

HKSKLU turut menjadi habitat fauna terancam seperti Beruang Matahari, Harimau Kumbang, Harimau Dahan, spesies endemik Tupai Terbang Terkecil (Selangor Pygmy Flying Squirrel) serta ikan laga yang sukar dijumpai iatu Langat Red Fighting Fish.

Justeru dengan bersandarkan keistimewaan itu, pelbagai usaha pemuliharaan dan pemeliharaan giat dijalankan dalam kalangan masyarakat suku kaum Temuan dari tiga buah kampung yang menetap di sekitar barat daya hutan tersebut meliputi Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Bukit Cheeding dan Busut Baru bersama agensi berkaitan serta NGO alam sekitar.

Ini termasuklah dengan menubuhkan SHGKLU yang melibatkan orang kampung bagi memastikan langkah pemuliharaan bersama pihak berkepentingan sejak 2014 dapat terus diperkasa dan bukanlah sekadar ‘bermusim’.

Menariknya, usaha pemuliharaan ini yang digemblengkan bersama beberapa agensi kerajaan, swasta, NGO seperti Global Environment Centre (GEC), JPNS, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kuala Langat, BOH Plantations Sdn Bhd, Gamuda Land, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) (Orang Asli/Orang Asal Micro-Grant Facility for Conservation and Livelihood (OA MGF) ini tidaklah hanya melibatkan komuniti dewasa.

Usaha gigih ini juga melibatkan golongan kanak-kanak Orang Asli menerusi penubuhan Junior Peatland Forest Ranger Kuala Langat (JPFR) yang memberi tumpuan terhadap penyemaian nilai mencintai alam sekitar serta kepentingan memahami keunikan hutan paya gambut sedari kecil lagi.

Pemulihan berjaya

“Tidak dinafikan, berita itu membuatkan kami rasa seperti sia-sia sahaja usaha selama ini kerana seolah-olah tidak dihargai. Namun ia tidak mematahkan semangat semua penduduk kampung untuk terus terlibat dalam program pemuliharaan berkenaan.

“Malah, usaha pemuliharaan tetap dijalankan setiap hari tanpa henti biarpun sehingga ke hari ini status cadangan penyahwartaan hutan tersebut untuk projek pembangunan bercampur masih lagi menjadi tanda tanya,” kata Tonjoi.

Hakikatnya, kesedihan itu tidak hanya dirasai dalam kalangan komuniti penduduk kampung bahkan juga pihak lain yang turut sama dalam usaha pemuliharaan HSKLU.

Mengulas mengenainya, Pengurus Program Hutan dan Pesisir Pantai, GEC, Nagarajan Rengasamy (HE) berkata kenyataan kerajaan negeri bahawa 40 peratus daripada HSKLU sudah merosot kualiti hutannya ketika ini adalah kurang tepat.

Ini kerana, kawasan hutan yang terjejas akibat daripada kebakaran sebelum ini sudah menjalani aktiviti pemulihan dengan penanaman semula lebih daripada 12,000 pokok sejak tahun 2015 lagi. Pokok-pokok berkenaan kini dianggarkan berusia antara empat hingga lima tahun.

“Kenyataan 40 peratus hutan ini adalah terosot sebenarnya wujud pada tahun 2014 dan bukannya sehingga sekarang. Ini berdasarkan laporan perkembangan program pemulihan yang dilaksanakan jelas menunjukkan HSKLU semakin pulih dengan usaha penanaman pokok dan pertumbuhan hutan secara semula jadi.

“Malah, aktiviti penanaman pokok yang melibatkan lebih daripada 20 hektar yang kini dianggarkan telah pun mencapai ketinggian tujuh hingga lapan meter serta pertumbuhan hutan secara semula jadi yang melibatkan lebih daripada 200 hektar di HSKLU yang terosot sekali gus telah membentuk hutan sekunder,“ katanya sambil menambah HSKLU masih lagi mempunyai 60 peratus kawasan hutan dara yang belum lagi terjejas.

Bagi memudahkan urusan penanaman, satu tapak semaian diwujudkan di Kampung Orang Asli Pulau Kempas yang berkeluasan 0.4 ekar.

Bukan sebarangan pokok yang boleh ditanam tetapi spesies flora seperti Tenggek Burung (Melicope lunu-ankenda) dan Mahang (Macaranga pruinosa) menjadi pilihan utama kerana sifatnya berdaya tahan dan mampu hidup di kawasan terosot selain kekuatannya beradaptasi terhadap kawasan berair serta berpaya.

Demi ‘survival’ HSKLU

Menariknya, program pemuliharaan ini tidak hanya menyasarkan usaha pemulihan hutan yang terosot. Sebaliknya, ia turut melakukan inisiatif lain khususnya berkaitan dengan langkah mitigasi kebakaran seperti membina 12 sekatan parit dan memasang sembilan (9) unit piezometer sebagai tindakan pengurusan hidrologi HSKLU.

“GEC mengajar teknik sekatan parit kepada ahli SHGKLU. Mereka juga bekerjasama membinanya di kawasan yang berisiko tinggi dan sering berlaku kebakaran. SHGKLU juga perlu sentiasa menyelenggara sekatan parit serta melakukan pemantauan paras air di parit berkenaan menggunakan piezometer.

“Selain itu, lima papan tanda Sistem Risiko Bahaya Kebakaran (FDRS) sebagai sistem amaran awal turut dipasang di kawasan hutan yang kerap berlaku dan terdedah kepada risiko kebakaran,“ katanya.

Bagi menjalankan pemantauan, pasukan rondaan terdiri daripada dua penunggang motosikal ditugaskan menjalankan rondaan sekitar HSKLU sebanyak tiga hingga empat hari seminggu selain memantau melalui menara tinjau bagi meminimumkan risiko berlakunya kebakaran hutan.

Semua program pemulihan ini yang diselaraskan berdasarkan pelaksanaan Rancangan Pengurusan Hutan Negeri Selangor 2011-2020 dan Pelan Pengurusan Kebakaran Hutan bagi HSKLU dan HSKLS (Selatan) 2017-2021 terbukti keberkesanannya dengan merujuk kepada Statistik Keluasan (ha) Kebakaran Hutan di dalam HSKLU 2012 - 2021, JPNS.

Berdasarkan laporan tersebut, HSKLU tidak mencatatkan sebarang kebakaran selama lima tahun, selepas langkah mitigasi kebakaran dilaksanakan pada tahun 2014 iaitu pada tahun 2015, 2016, 2018, 2019 dan 2020

Bagaimanapun, dua kebakaran direkodkan pada tahun 2017, melibatkan keluasan 95.6 hektar dan terbaharu awal Mac 2021.

Namun begitu, kemarakan api kali ini dapat dikawal daripada terus merebak apabila hanya melibatkan keluasan lima (5) hektar sahaja, hasil daripada keberkesanan langkah pencegahan selain tindakan pemadaman kebakaran yang dilaksanakan, katanya.

Masa depan semua

“Kami percaya kebakaran baru-baru ini adalah disebabkan tindakan manusia tidak bertanggungjawab dan bukannya disebabkan faktor semula jadi. Ini kerana, jalan gravel atau batu kerikil yang terdapat berhampiran dengan kawasan HSKLU terbakar adalah laluan pintas ke Dengkil, Putrajaya dan Cyberjaya.

“Ia digunakan secara aktif penduduk di sana dan ada kemungkinan pengguna yang melalui laluan tersebut terbuang puntung rokok. Itu juga boleh menyebabkan berlakunya kebakaran,” katanya.

Justeru, beliau berkata, sebaiknya laluan masuk ke HSKLU ditutup dengan membina pagar berpalang besi bagi mencegah kemasukan kenderaan orang awam tanpa kebenaran.

Langkah berkenaan adalah selain daripada memasang papan tanda HSKLU, sebagai pemberitahuan kepada orang luar bahawa penalti boleh dikenakan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 sekiranya masuk ke HSKLU tanpa kebenaran.

Sambil berharap kerajaan negeri Selangor mempertimbangkan kembali cadangan penyahwartaan tersebut, Nagarajan berkata HSKLU bukanlah sekadar menjamin masa depan kehidupan masyarakat Orang Asli di situ

“HSKLU berperanan penting mengekalkan kesejahteraan kehidupan manusia dan keseimbangan alam sekitar.

Ïni termasuk perkhidmatan ekosistem, sistem hidrologi bagi lembangan Sungai Langat, pengawalan banjir, menjadi sumber takungan air serta membantu mitigasi isu pemanasan global dan perubahan iklim, “ tambahnya. -Bernama