PUTRAJAYA: Pemberian diesel bersubsidi secara pukal menjadi punca ketirisan yang membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab, melakukan penyelewengan dan penyeludupan bahan berkenaan di pasaran gelap, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar).

Susulan itu, beliau berkata adalah tidak wajar untuk kerajaan meneruskan pendekatan pemberian subsidi sedia ada kerana tidak adil kepada golongan sasar, iaitu kumpulan rakyat yang memang memerlukan.

“Limpahan manfaat daripada pemberian subsidi secara pukal sejak sekian lama ini, turut dinikmati oleh golongan yang berpendapatan tinggi dan bukan warganegara.

“Subsidi diesel yang sepatutnya memberi manfaat kepada nelayan atau pengguna untuk mendapat nilai untuk wang kepada perkhidmatan dan barangan yang mereka beli, telah turut disalahgunakan oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam teks ucapannya sempena perasmian Simposium Kos Sara Hidup (SCOL) 2023 di sini hari ini, yang dibaca oleh Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Menyentuh mengenai dapatan daripada Laporan Kajian Impak Program Subsidi Petrol dan Program Subsidi Diesel Sektor Pengangkutan Terpilih, Ahmad Zahid berkata kumpulan T20 secara purata menggunakan RM399 sebulan bagi petrol RON95, manakala kumpulan B40 secara purata menggunakan RM243 sebulan.

“Dapatan ini membuktikan kaedah subsidi pukal tidak mencapai objektif asas, kerana kumpulan sasar yang sepatutnya dibantu tidak mendapat manfaat optimum,” katanya pada 2022, nilai subsidi keseluruhan yang telah dibelanjakan sebanyak RM91.9 bilion, satu nilai yang terlalu besar berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Bagi tahun ini Ahmad Zahir berkata peruntukan asal bagi keperluan subsidi ialah sebanyak RM64 bilion, namun kerajaan mengunjurkan nilai tersebut mencecah RM 80.9 bilion, berdasarkan perbelanjaan semasa.

“Senario berterusan sebegitu tidak optimum dari sudut fiskal dan wajar bagi kerajaan menambah baik kaedah penyampaian bantuan yang lebih bersasar kepada rakyat,” katanya.

Ahmad Zahid berkata pelaksanaan subsidi bersasar bukanlah mudah dan sudah tentu ada cabarannya, dan kerajaan perlu berhati-hati dalam melaksanakannya, kerana ia akan memberi pelbagai kesan dan impak kepada pelbagai kumpulan masyarakat dan sektor ekonomi.

“Sebelum pelaksanaan subsidi secara bersasar, kerajaan juga perlu meneliti jangkaan secara langsung terhadap kenaikan kadar inflasi melalui Indeks Harga Pengguna (IHP),” katanya.

Ahmad Zahid berkata agenda jaminan perlindungan sosial perlu dibuka seluas-luasnya dan kaedah sedia ada seperti waqaf, endowmen, perusahaan sosial, perlu diremajakan dan diketengahkan agar menjadi pelengkap kepada penyasaran semula subsidi.

“Sekiranya kita mempunyai jaminan perlindungan sosial dan penyasaran semula subsidi serta peranan pihak seperti waqaf, baitulmal dan lain-lain, saya percaya pengeluaran KWSP oleh pencarum kerana kecemasan luar biasa, boleh dinoktahkan,” katanya.

SCOL 2023 dianjurkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan Kementerian Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN selama dua hari bermula hari ini, membabitkan lebih 600 peserta. -Bernama