• 2025-09-18 05:19 PM

KUANTAN: Seorang guru wanita mengalami kerugian sebanyak RM340,500 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon yang dilakukan individu menyamar sebagai wakil insurans, pegawai polis dan pendakwa raya.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman menyatakan wanita berusia 42 tahun itu menerima panggilan pada 27 April lepas daripada suspek yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

Suspek kemudian mengarahkan mangsa membuka akaun bank baharu dan menukar nombor telefon berdaftar sebelum membuat pinjaman peribadi berjumlah lebih RM280,000 serta menggadaikan barang kemas.

Antara 15 Julai hingga 15 September, mangsa melakukan 13 transaksi pemindahan wang ke lapan akaun berbeza melibatkan jumlah RM117,000.

Yahaya berkata semakan penyata bank semalam mendapati terdapat 24 transaksi tidak sah bernilai RM223,500 daripada akaun simpanan mangsa yang dipercayai dilakukan sindiket selepas memperoleh akses. – Bernama