BRUSSELS: Skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang diperkenalkan pada 2013, sentiasa berkembang dan bertambah baik, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar).

Perkara itu melibatkan seperti semakan utama yang diperkenalkan tahun lepas dengan piawaian yang lebih ketat, termasuk tarikh akhir melakukan pembasmian hutan pada 31 Dis 2019, yang menepati tarikh akhir mengikut Peraturan Pembasmian Hutan di bawah Kesatuan Eropah (EU).

Lebih banyak semakan telah dibuat ke atas pengenalpastian pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan rancangan pemantauan untuk pengurangannya, pengenalan panduan baharu mengenai persetujuan bebas, terdahulu dan termaklum (FPIC), serta perlindungan bagi pembela hak asasi manusia dan pemberi maklumat.

“(Oleh itu), kami mengulangi bahawa minyak sawit Malaysia adalah mampan. MSPO sudah pun menjamin komitmen Malaysia terhadap kemampanan, dan terus menyediakan minyak sawit yang mampan dan bebas pembasmian hutan untuk pelanggan Eropah dan global kami,” katanya pada majlis makan tengah hari dan sesi dialog bersama ketua pegawai eksekutif (CEO) industri minyak sawit dan wakil EU.

Hadir sama ialah Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia, Airlangga Hartarto; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh dan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.

Fadillah berkata kerajaan Malaysia juga sepenuhnya komited terhadap dasar utama berkaitan minyak sawit mampan.

Ini termasuk menghentikan penanaman di kawasan tanah gambut dan mengetatkan peraturan berhubung penanaman kelapa sawit sedia ada di tanah gambut, mengharamkan penukaran kawasan hutan simpan untuk penanaman kelapa sawit, dan berjanji untuk menyediakan peta perladangan sawit untuk akses orang ramai.

Selain itu, pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Glasgow (COP26), Malaysia mengumumkan sasaran pelepasan GHG bersih-sifar paling awal pada 2050.

Malaysia juga komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan seperti ikrar yang dinyatakan pada Sidang Kemuncak Bumi Rio pada 1992.

Pada masa ini, litupan hutan Malaysia adalah sebanyak 55.3 peratus.

Komitmen Industri Minyak Sawit Terhadap Tindakan Iklim

Menurut analisis Forest 500 oleh Global Canopy, 72 peratus syarikat minyak sawit telah membuat komitmen untuk tidak melakukan pembasmian hutan, jauh lebih tinggi berbanding komoditi lain seperti pulpa dan kertas (49 peratus), kacang soya (40 peratus), daging lembu (30 peratus) dan kulit (28 peratus).

“Walau bagaimanapun, kami memerlukan sokongan penuh daripada semua pihak di seluruh rantaian bekalan minyak sawit untuk merealisasikan matlamat bersama kami untuk mencapai keseimbangan mampan antara keperluan alam sekitar dan keperluan sosio-ekonomi, serta mendukung piawaian kemampanan dan amalan bertanggungjawab tertinggi.

“Bersama-sama, kita boleh memastikan minyak sawit kekal sebagai komoditi pilihan dalam menggalakkan pengeluaran dan penggunaan mampan. Kita sudah pasti telah melangkah jauh dan kita komited untuk meneruskan usaha ini bersama semua pihak,” katanya.

Kira-kira 30 syarikat menyertai majlis makan tengah hari dan sesi dialog itu antaranya ialah Pengarah Urusan PT Sinarmas TBk, Ferry Salman; Ketua Eropah dan Afrika Sime Darby, Michael Barkhuysen; Ketua Kemampanan Cargill Eropah, Gifty Amedi; Ketua Kemampanan Wilmar bagi Eropah, Daphne Hameeteman; Pengasas Bersama dan CEO DIBIZ Pte Ltd, U.R Unnithan. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image