JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor bersedia menawarkan tanah untuk kegiatan penanaman padi bagi membantu Kerajaan Persekutuan menangani isu kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT).
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di laman Facebook beliau turut mencadangkan beberapa perkara untuk pertimbangan Kerajaan Persekutuan antaranya mewujudkan subsidi beras import sehingga BPT mencukupi.
“Pembungkusan semula beras kepada pek kecil seperti satu kilogram atau dua kilogram agar ia lebih mudah dan murah dibeli oleh rakyat yang kais pagi makan pagi.
“Selain itu, turut dicadangkan mempertimbangkan untuk mengimport beras dari negara lain seperti Indonesia yang menawarkan harga beras yang lebih murah,“ katanya hari ini.
Beliau berkata isu kekurangan bekalan beras tempatan dan kenaikan harga beras import sangat menjejaskan rakyat yang terpaksa berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.
“Saya telah membuat lawatan ke beberapa lokasi untuk melihat sendiri keadaan realiti di peringkat akar umbi. Tinjauan mendapati beberapa barang makanan asas seperti beras tempatan, telur, dan minyak paket (subsidi) telah kekurangan stok.
“Perkara ini diambil serius oleh kerajaan negeri. Saya telah meminta Exco-exco yang terlibat dan agensi berkaitan seperti FAMA, untuk meneliti perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi menampung keperluan rakyat,“ katanya. -Bernama