GUA MUSANG: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) merekodkan 215 kes malaria setakat ini, iaitu peningkatan sebanyak 98 kes atau 84 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 53 kes atau 24.7 peratus adalah malaria manusia, manakala 162 kes (75.3 peratus) malaria zoonotik iaitu jangkitan malaria daripada monyet.
Bagaimanapun, katanya tiada kes kematian akibat malaria dilaporkan di negeri itu setakat ini.
“Antara kawasan penularan jangkitan malaria di Kelantan adalah di ladang dan pinggir hutan, namun kawasan penempatan Orang Asli tidak banyak berlaku kes kerana kita telah mengadakan aktiviti pencegahan dan pengesanan di kawasan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Negeri Kelantan di Ladang Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah di sini hari ini.
Menurut Dr Zaini langkah pencegahan penting dilaksanakan oleh masyarakat untuk mengekang penularan malaria, selain mendapatkan rawatan segera sekiranya dijangkiti penyakit itu bagi mengelakkan komplikasi lebih teruk.
Selain itu, katanya strategi pencegahan malaria manusia sedia ada perlu diteruskan di samping memerlukan pemerkasaan dari segi pendanaan, inovasi dan implementasi terutamanya bagi menghadapi kes malaria zoonotik yang masih tinggi. -Bernama