PUTRAJAYA: Dengan mengenakan baju berkonsep Jalur Gemilang, menjadi motivasi kepada kanak-kanak untuk bersama-sama ribuan pengunjung memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, hari ini.

Pasangan adik beradik Nur Fazwina Faqihah Hamdan, 12, dan Nur Feazarra Farihah, 8, berkata mereka sangat teruja untuk menyambut Hari Kebangsaan tahun ini, walaupun perlu bangun awal pada hari cuti umum.

“Kami pesan dengan ibu supaya kejutkan pukul 6 pagi, sebab nak bersiap.

“Rasa teruja nak pakai baju tema Jalur Gemilang, sebab yang masuk perbarisan sudah bersemangat jadi kenapa kita kena datang pakai baju biasa,” kata Nur Fazwina Faqihah yang bersama adiknya hadir dengan ditemani ibu.

Nur Ammara Keysha Shazley, 8, pula berkata kanak-kanak sebayanya tidak mahu ketinggalan, untuk hadir dengan mengenakan pakaian yang menarik tetapi berunsur patriotik sebagai tanda cintakan negara.

“Tiap-tiap tahun saya suka tengok perarakan Hari Kebangsaan dan pakai cantik-cantik. Bila pakai macam ni, ramai orang ajak saya bergambar,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik.

Rayyan Rizqi Ahmad Ahlami, 9, bersama adiknya Aleesa Afeeya, 6, yang ditemani bapa mereka, Ahmad Ahlami, 36, kelihatan sangat gembira kerana bukan sahaja dapat menyaksikan keseluruhan acara, tetapi tidak sabar menanti kemunculan kontinjen ibu mereka yang merupakan warga Kementerian Belia dan Sukan.

Tampil mengenakan baju Melayu dan baju kurung berkonsep Jalur Gemilang, kedua-dua beradik itu berkata: “Rasa seronok sebab dapat pakai baju Jalur Gemilang setahun sekali.”

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bertemakan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ diadakan di Putrajaya buat kali kelima. Sebelum ini, Putrajaya menjadi lokasi penganjuran sambutan Hari Kebangsaan pada 2003, 2005, 2018 dan 2019. -Bernama