KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan memfailkan saman terhadap Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dan Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Medan Dr Afif Bahardin bagi menuntut ganti rugi masing-masing RM1 juta atas dakwaan memfitnah, tahun lepas.

Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak selaku plaintif memfailkan saman itu secara berasingan di Mahkamah Tinggi di sini pada 22 Jan lepas menerusi Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co dengan menamakan Chegubard dan Afif selaku defendan.

Berdasarkan dokumen diperoleh media, Farhash dalam pernyataan tuntutan itu mendakwa Badrul Hisham telah membuat kenyataan berunsur fitnah pada sidang media sekitar 24 Nov tahun lepas yang menyatakan plaintif adalah Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) yang menjalankan agensi risikan kebangsaan dan mempunyai semua maklumat sulit berkenaan aset negara.

Sementara itu, Farhash turut mendakwa Afif, yang merupakan Setiausaha Perikatan Nasional Selangor telah membuat kenyataan fitnah terhadapnya menerusi kenyataan media pada 15 Nov 2023 kononnya plaintif mempunyai perwatakan liar dan tidak sesuai memegang jawatan sebagai pegawai kerajaan.

Menurut plaintif, kedua-dua kenyataan fitnah itu telah diterbitkan di TikTok dan WhatsApp, yang boleh menjatuhkan reputasinya serta memalukan plaintif yang merupakan pengerusi dan pengarah beberapa syarikat termasuk 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad dan Apex Equity Holdings Berhad.

Oleh itu, plaintif antara lain memohon satu perintah injunksi bagi menghalang kedua-dua defendan atau ejen mereka daripada mengulangi atau menerbitkan semula kenyataan fitnah tersebut.

Plaintif juga memohon kedua-dua defendan itu menarik balik kenyataan fitnah tersebut serta membuat permohonan maaf yang perlu diterbitkan di media elektronik dan surat khabar pilihan plaintif.

Turut dituntut adalah ganti rugi khas RM1 juta daripada setiap defendan dan ganti rugi am, ganti rugi pampasan dan teladan, faedah serta kos yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pengurusan kes saman itu ditetapkan pada 25 Mac ini. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image