• 2023-08-10 10:12 PM

KEPALA BATAS: Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, hari ini turun padang membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Khairy berkata kehadiran beliau di DUN Bertam itu, untuk membantu kempen sahabatnya yang disifatkannya mampu menjadi wakil rakyat yang baik di kawasan itu.

“Beliau kawan baik saya dalam Umno dulu, dan saya tahu dia boleh buat kerja dan pandai, selain memiliki banyak pengalaman sama ada dalam parti atau kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra bersama Reezal Merican, di kawasan pekan lama Kepala Batas, di sini hari ini.

Kehadiran Khairy mendapat sambutan meriah daripada pengundi di kawasan itu, dengan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk berswafoto dan bergambar dengan beliau.

Sebelum ini, bekas ketua pemuda Umno itu dilapor turun membantu kempen calon Perikatan Nasional (PN) di DUN Jeram di Selangor Datuk Harisson Hassan.

Sementara itu, Reezal Merican berkata kehadiran Khairy memberi kekuatan tambahan kepadanya, bagi mengharungi hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), sebelum pengundian pada Sabtu ini.

Reezal Merican yang pernah mengetuai Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Khaliq Mehtab Mohd Ishaq pada PRN Pulau Pinang. -Bernama