Your Title

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud hari ini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya terhadap penuntut-penuntut yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Menurut kenyataan Sekretariat Khas JPM, laporan tersebut dibuat susulan tindakan tuntutan difailkan oleh penuntut-penuntut itu melalui Notis Timbang Tara yang diserahkan kepada kerajaan Malaysia pada 30 Julai 2019 melibatkan anggaran tuntutan melebihi US$32 bilion.

“Ketua Pengarah BHEUU JPM membuat laporan ini kerana tuntutan ini merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut rentetan daripada insiden pencerobohan di Lahad Datu, kerajaan Malaysia mengisytiharkan Kumpulan Royal Sulu Force (RSF) sebagai entiti pengganas yang terbabit dalam tragedi pencerobohan di Sabah pada 2013.

Sementara itu, seorang daripada penuntut, Fuad A. Kiram juga diklasifikasikan sebagai pengganas di bawah Seksyen 66B Akta Pencegahan Penggubalan Wang Haram Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLAATFUAA) pada 6 April 2023.

Menurut kenyataan itu, objektif laporan polis tersebut dibuat adalah dengan mengambil kira wujudnya elemen sabotaj ke atas ekonomi dan ancaman kepada keselamatan negara melalui tindakan agresif penuntut-penuntut yang dipercayai bersubahat dengan menyalahguna proses timbang tara antarabangsa.

Susulan laporan ini dipercayai satu siasatan jenayah akan dimulakan oleh pihak berkuasa demi menjamin keamanan, keselamatan dan kestabilan negara, menurut kenyataan itu. -Bernama