MELAKA: Lima kedai menjual tayar kereta di sekitar Melaka Tengah dikompaun masing-masing sebanyak RM500 kerana didapati menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes dalam Op Tayar di sini hari ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata kompaun berkenaan dikeluarkan kepada pengusaha tayar berkenaan di bawah Seksyen 13 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dalam operasi selama tiga jam bermula 3 petang tadi.

Beliau berkata dalam operasi khas berkenaan, puluhan larva nyamuk Aedes ditemukan dalam takungan air pada longgokan tayar terpakai di kedai tayar, masing-masing satu premis Taman Paya Rumput, Taman Laksamana Cheng Ho, Taman Semabok Perdana dan dua premis di Taman Teknologi Cheng.

“Masalah tayar terpakai dilonggokkan di luar premis seperti lorong belakang, tanah terbiar dan bahu jalan dikenal pasti sebagai salah satu tempat berpotensi menjadi perlindungan atau pembiakan nyamuk Aedes.

Situasi berkenaan menjadi salah satu faktor menyebabkan peningkatan kes demam denggi di negeri ini dan sebelum ini sehingga minggu epidemiologi (ME) 33, sebanyak tiga kedai tayar dikompaun kerana terdapat pembiakan jentik-jentik,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Khas Penguatkuasaaan APSPP 1975: Op Tayar yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Rusdi Abd Rahman.

Mengulas lanjut, Ngwe berkata kesemua pengusaha premis tayar kereta berkenaan diberi tempoh selama seminggu untuk membuang longgokan tayar terpakai di kedai mereka ke tempat yang sepatutnya sekali gus membersihkan tempat pembiakan jentik-jentik.

Beliau berkata arahan penutupan premis juga boleh diambil kepada pengusaha yang ingkar di bawah Subseksyen 8(3)(aa) APSPP 1975 dan jika kesalahan berulang atau kegagalan menjelaskan kompaun, tindakan pendakwaan boleh diambil iaitu denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, katanya sebanyak tiga notis di bawah Seksyen 8 APSPP 1975 turut dikeluarkan kepada tiga pengusaha kedai dalam Op Tayar hari ini yang melibatkan pemeriksaan ke atas 14 premis jualan tayar kereta.

“Saya berharap pengusaha atau pemilik kedai tayar di negeri ini bersikap lebih prihatin dan memastikan tiada longgokan tayar terpakai di luar kedai mereka yang berpotensi menjadi tempat pembiakan jentik-jentik,“ katanya. -Bernama