KUALA LUMPUR: Permohonan pihak pendakwaan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan dihadapinya adalah budi bicara Peguam Negara dan diputuskan oleh mahkamah, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata DAP menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, Peguam Negara Tan Sri Idris Harun harus memberikan penjelasan terbuka berkenaan faktor yang mendorong kepada keputusan tersebut.
“Penjelasan ini adalah penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara,” katanya menerusi sebuah hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Beliau berkata DAP juga akan menjunjung prinsip pengasingan kuasa antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif serta memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam sebarang kes mahkamah.
Semalam, Mahkamah Tinggi memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding kes itu kerana berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.
Sementara itu, Setiausaha Agung parti Amanah Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata parti itu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi atas prinsip kedaulatan undang-undang yang didukung oleh Amanah selama ini.
Beliau berkata Amanah yakin proses perundangan dan prosiding mahkamah di sepanjang perjalanan kes ini telah pun diteliti dan diadili.
“Namun begitu, Amanah ingin menzahirkan pandangan atas dasar integriti dan kebertanggungjawaban supaya Peguam Negara atau Jabatan Peguam Negara memberikan suatu penjelasan terperinci mengenai hujah atau alasan yang mendorong kepada keputusan tersebut,” katanya.
Menurutnya, penjelasan terperinci akan dapat memberikan pencerahan kepada semua pihak sekali gus mengangkat integriti institusi undang-undang negara khususnya Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sementara itu, Pengerusi Majlis Ulama Umno Malaysia Datuk Dusuki Ahmad dalam kenyataan berkata keputusan DNAA itu telah menafikan segala tohmahan tidak berasas terhadap Ahmad Zahid selama ini selain membersihkan nama beliau yang menjadi sasaran kecaman oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, Majlis Ulama Umno Malaysia optimis dengan keputusan tersebut dan akan meningkatkan lagi semangat dan keyakinan ahli Umno bahawa setiap yang benar pasti akan muncul dan rakyat boleh menilai apa yang berlaku.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataan hari ini berkata keputusan tersebut menoktahkan segala bentuk penganiayaan sekali gus membersihkan nama baik Ahmad Zahid.
Keputusan itu juga membuktikan bahawa tuduhan-tuduhan yang dibuat selama ini merupakan satu pendakwaan politik terpilih oleh pihak yang mahu mencalarkan imej institusi Presiden dan UMNO, kata Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor. -Bernama