KUALA LUMPUR: Ibu kota ikonik Malaysia terus menjadi tumpuan diplomatik antarabangsa apabila Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan sidang kemuncak berkaitan memasuki hari terakhir, hari ini.
Sorotan hari ini ialah penganjuran dua mesyuarat penting peringkat tinggi – Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan – bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.
Setiausaha Agung GCC Jasem Mohamed Albudaiwi berkata kerjasama strategik dengan negara anggota ASEAN dan usaha untuk menyelesaikan isu Gaza dan Palestin secara menyeluruh akan menjadi antara fokus utama negara GCC pada sidang kemuncak kedua itu.
Sementara itu, sidang kemuncak trilateral antara tiga pihak ialah inisiatif baharu oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi tiga hala antara ASEAN, GCC, dan China.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sidang kemuncak tiga pihak itu melambangkan kekuatan kesepaduan blok serantau yang mampu memberi impak positif kepada dunia secara keseluruhan, sambil menyumbang kepada masa depan yang lebih inklusif dan mampan, untuk rantau dan rakyatnya.
Sidang kemuncak dijangka menggariskan strategi baharu dalam perdagangan, pelaburan, pembangunan, infrastruktur mampan, dan pendigitalan serantau.
Gabungan ekonomi ASEAN, GCC, dan China kini telah mencecah hampir USD25 trilion dengan populasi lebih dua bilion orang.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menganjurkan majlis Santapan Tengah Hari Diraja untuk tetamu kehormat asing di Istana Negara.
Acara utama lain hari ini termasuk Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-16 dan Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-16.
Beberapa pertemuan dua hala antara Malaysia dengan negara-negara berkaitan turut dijadualkan berlangsung termasuk dengan Bahrain, Oman, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada luar acara sidang kemuncak itu.
Pemimpin ASEAN yang menghadiri sidang kemuncak hari ini ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.
Turut hadir ialah Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmão sebagai pemerhati, serta Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Mereka akan disertai Perdana Menteri China Li Qiang dan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa dan Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah.
Timbalan Perdana Menteri Oman Sayyid Asaad bin Tarik al Said, Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Farhan Al Saud, dan Ahli Majlis Tertinggi UAE dan Pemerintah Ras Al Khaimah (RAK) Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi juga akan menyertai mereka pada sidang kemuncak itu.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan sidang kemuncak berkaitan akan diakhiri dengan sidang media oleh Anwar sebelum majlis makan malam Forum Ekonomi ASEAN-GCC-China (AGCEF).
Pada Isnin, pemimpin ASEAN menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama. Menerusi deklarasi itu, pemimpin ASEAN menerima pakai Visi Komuniti ASEAN (ACV) 2045 dan semua Pelan Strategik yang berkaitan.
ACV 2045 merupakan dokumen penting sebagai panduan blok ini ke arah integrasi yang lebih besar dan pembinaan warga serantau yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat dalam tempoh 20 tahun akan datang.