• 2021-06-01 10:30 AM

PENAMPANG: Maya Hejnowska (pix), gadis kacukan Kadazan-Poland berusia 20 tahun, dimahkotakan sebagai Ratu Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2021 sempena sambutan Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan KDCA di sini, kelmarin.

Maya, mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api, mengalahkan 21 peserta akhir lain untuk membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM66,800.30 antaranya wang tunai RM15,000 dan biasiswa pendidikan bernilai RM35,000.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, beliau mengucapkan terima kasih atas dorongan dan semangat daripada ibu dan ahli keluarganya sehingga dimahkotakan gelaran tersebut.

Naib johan disandang oleh Dianarin Vahidin mewakili DUN Ranau dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Febby Angelica Richard yang mewakili DUN Kundasang.

Pertandingan UNK diadakan secara dalam talian tanpa sempadan tahun ini disertai oleh keseluruhan 79 peserta mewakili setiap DUN di Sabah dan empat negeri di Semenanjung Malaysia, sebelum 21 peserta layak ke pusingan akhir.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dalam kenyataan sempena penutupan Pesta Kaamatan 2021 berkata pesta itu adalah acara kebudayaan Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) dan komuniti etnik lain sebagai tanda kesyukuran dengan hasil tuaian yang melimpah.

“Hari ini, pelbagai kaum dan etnik mengambil kesempatan untuk meluangkan masa bersama rakan dan keluarga tercinta untuk meraikan Pesta Kaamatan walaupun disambut dalam keadaan sederhana kerana penularan Covid-19.

“Pesta Kaamatan mengajar kita pentingnya perpaduan yang erat sebagai teras dalam mempertingkat dan memperkukuhkan keamanan di negeri ini yang kaya dengan kepelbagaian suku kaum, etnik dan budaya,” katanya.

Beliau berkata dalam menghadapi cabaran dibawa Covid-19 terutama melibatkan ekonomi, rakyat diharap dapat memupuk perpaduan yang erat bagi menghadapi cabaran yang mendatang. -Bernama