MBJB sedia peruntukan tambahan RM2 juta tangani isu banjir
JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memperuntukkan tambahan RM2 juta kepada unit Skuad Kilat pada tahun hadapan bagi menangani isu banjir di bandar raya ini.
Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Mohd Noorazam Osman berkata peruntukan itu bagi meningkatkan inventori unit berkenaan dengan melibatkan pembelian kenderaan dan peralatan kecemasan untuk kegunaan pada musim banjir.
“Setakat ini banjir yang berlaku (di bandar raya Johor Bahru) adalah banjir kilat dan kita (MBJB) memang sentiasa bersiap sedia... Skuad Kilat kita memang melakukan rondaan boleh dikatakan setiap hari untuk memantau sekiranya ada tempat atau lubang longkang tersumbat kerana kadangkala masalahnya adalah disebabkan sampah.
“Sehubungan itu, sebanyak RM2 juta (peruntukan tambahan) diperuntuk bagi tahun hadapan untuk membeli kenderaan serta peralatan kecemasan berkaitan banjir,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Noorazam dalam ucapan berkata sebanyak 13 projek tebatan banjir berimpak tinggi telah dikenal pasti bagi dilaksanakan pada tahun hadapan dengan peruntukan berjumlah RM15 juta.
Beliau berkata pihaknya juga akan meningkatkan penggunaan teknologi terkini bagi pemantauan dan sistem penggera banjir menerusi aplikasi Irrigation Drainage Alert Monitoring System (IDAMS).
Sementara itu, Mohd Noorazam berkata MBJB sedia memberi kerjasama bagi cadangan lokasi dan kawasan di bandar raya ini sekiranya kemudahan ‘Park N’ Ride’ mahu dilaksanakan bagi mengatasi isu kesesakan apabila projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura siap nanti.
“Kita sudah kemuka cadangan kepada Kerajaan Persekutuan termasuk Kementerian Pengangkutan dan kerajaan Johor untuk mewujudkan perkhidmatan ‘Park and Ride Facility’ kerana kami berpandangan perkhidmatan itu perlu diberi keutamaan kerana disebabkan ada RTS nanti, sepatutnya semua kenderaan tidak lagi masuk ke bandar.
“Saya juga berpandangan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) atau Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) perlu melihat untuk mewujudkan bas perantara bagi memudahkan pengguna RTS ke kawasan bandar dan menghubungkan terus ke stesen RTS untuk mengelakkan kesesakan,” katanya. -Bernama