SHAH ALAM: Modul latihan yang ‘keras’ mungkin menjadi antara punca kecederaan belakang yang dialami pemain perseorangan negara Ng Tze Yong, sekali gus merisikokan peluangnya untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) Datuk Misbun Sidek berkata sebagai pemain yang ‘lembut’ dan berteknikal, pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu memerlukan latihan yang bersesuaian dengan fizikalnya, bagi menjamin perkembangan karier badminton pemain tersebut serta prospek pingat di Sukan Olimpik tidak terencat.

“Apa yang saya dapat lihat kecederaan yang bertalu-talu ini, mungkin berpunca dari segi modul latihan atau latihan yang banyak memberi bebanan kepada badan dia.

“Saya pernah melatih dia dulu dan sebagai pemain junior, saya dapati dia pemain yang lembut, yang latihan lebih banyak diberikan kepada pemantapan aspek teknikal dan skill permainan,” katanya ketika ditemui di Klinik Badminton bersempena dengan Pameran Anak-Anak Sidek: Legenda Badminton Negara di sini hari ini.

Beliau mengulas peluang Tze Yong untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris yang akan berlangsung Julai depan, berikutan pemain berusia 24 tahun itu bakal menjalani pembedahan ekoran kecederaan belakang ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, bulan lepas.

Misbun juga tidak menolak kemungkinan kecederaan berulang Tze Yong turut disumbangkan oleh jumlah pertandingan yang perlu disertai pemain itu.

“Mungkin sekarang ini dia banyak sertai pertandingan dan sebab itu banyak unsur baharu dimasukkan dalam input latihan yang keras, menyebabkan dia mendapat kecederaan yang bertalu-talu,” katanya.

Pada 2 Dis tahun lalu, Tze Yong dilaporkan berkata telah mengubah regim latihannya kepada yang lebih intensif, dengan menjalani latihan sekurang-kurangnya enam jam sehari bagi mengatasi masalah sukar untuk mengekalkan konsistensi ketika perlawanan.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia Rexy Mainaky bagaimanapun tampil menafikan bahawa kecederaan dialami pemain kelahiran Johor itu, akibat daripada latihan berlebihan.

Ketika ini, Tze Yong berada di kedudukan ke-15 ranking kelayakan Olimpik dan perlu kekal dalam kelompok 16 teratas, bagi melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image