Your Title

KUALA LUMPUR: Suplemen Tocotrienol yang merupakan antara khasiat dalam minyak kelapa sawit berjaya meningkatkan tahap kesuburan Harimau Malaya.

Pengurus Komunikasi Korporat Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) Tuan Nazuri Tuan Ismail berkata pengeluaran air mani dan kualiti sperma Harimau Malaya dapat dipertingkatkan menerusi pemberian suplemen itu hasil ujian makmal dijalankan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

“Perhilitan telah mengambil sampel air mani tiga Harimau Malaya jantan menerusi Program Bioteknologi Pembiakan Hidupan Liar di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Negara di Sungkai pada 25 Okt lepas.

“Hasil ujian makmal itu menunjukkan keputusan positif iaitu peningkatan jumlah air mani yang dihasilkan selain kualiti sperma yang lebih sihat berbanding sebelum diberikan suplemen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata suplemen Tocotrienol telah digaul bersama makanan dan diberi sebagai makanan tambahan kepada Harimau Malaya jantan dewasa.

Tuan Nazuri berkata pihak industri sawit Malaysia melalui MPOGCF telah menaja RM3 juta bagi Program Konservasi Harimau Malaya bagi tempoh lima tahun sejak 2021.

Bagaimanapun, menurutnya program kebangsaan yang bertujuan menambah populasi haiwan ikonik berkenaan selain mengelak kepupusan belum berjaya menambah kelahiran baharu Harimau Malaya.

“Suplemen Tocotrienol ialah usaha kita dengan pihak Perhilitan menambah kesuburan Harimau Malaya jantan untuk mencapai matlamat program ini,“ katanya.

Beliau berkata suplemen itu dibekalkan oleh pihak Sime Darby Oil Nutrition.

Tuan Nazuri berkata tajaan program konservasi berkenaan juga adalah antara inisiatif MPOGCF untuk mengukuhkan jenama minyak sawit mampan Malaysia di peringkat global. -Bernama