YAN: Kira-kira 20 pesawah masyarakat Cina di Kampung Dulang Tengah di sini mendakwa kerugian hampir RM200,000 selepas tanaman padi yang diusahakan mereka tidak menjadi akibat serangan penyakit misteri.
Keadaan itu menyebabkan mereka runsing memikirkan persiapan Tahun Baru Cina yang akan disambut minggu depan.
Seorang pesawah, Har Khai Hong, 60, mendakwa masalah itu melibatkan kira-kira 30 hektar sawah dan sehingga kini penyakit yang menyebabkan padi tidak berisi itu gagal dikenal pasti, walaupun telah dipantau Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sejak sebulan lepas.
“Penyakit apa pun tak tau, pokok padi tak keluar tangkai, kalau keluar pun tak ada bunga, kalau ada buah padi pun akan jadi hitam dan biji padi tak ada isi, bukan sikit-sikit, saya seorang kena empat relong (1.2 hektar), sawah saya dekat Semeling, Merbok pun kena juga sampai 60 relong (18 hektar)...nak dapat hasil satu tan serelong pun susah, jadi Raya Cina Tahun ini susahlah, hati tak berapa seronoklah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Har, beliau tidak melakukan sebarang penukaran benih, racun, baja dan vitamin untuk padi, justeru kejadian itu menimbulkan tanda tanya.
Peng Poh Keat, 50, yang telah menanam padi selama lebih 30 tahun, berkata penyakit itu dikesan sebulan lepas apabila kebanyakan pokok padinya dilihat tidak banyak tangkai di sawah miliknya seluas enam hektar.
“Sedih jugalah, dekat Tahun Baharu Cina pula tu, selama ni kami harapkan duit padi untuk digunakan raya nanti, tapi bila jadi macam ni kami sambut dengan sederhana sajalah, macam mana nak bayar sewa tanah dan kos-kos untuk nak mula buat bendang pula pada April nanti,” katanya.
Bagi Chai Ah Sim, 81, kebiasaannya dia memperoleh hasil pengeluaran sekitar 50 tan daripada tujuh hektar sawahnya, namun kali ini dia menjangkakan kurang 10 tan gara-gara penyakit misteri itu.
Beliau berkata lebih 60 peratus pokok padinya berdepan masalah itu walaupun segala keperluan yang diperlukan bagi tanaman itu mencukupi.
“Saya fikir cuaca juga jadi faktor, sebab panas pun kuat sekarang ini...saya harap pihak berkenaan dapat datang untuk mengenal pasti penyakit ini dan mengatasinya,” katanya yang turut mengharapkan bantuan atau insentif daripada pihak berkaitan bagi meringankan beban mereka.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia Rosdi Yahaya berkata isu penyakit padi yang dihadapi petani di kawasan tersebut telah dirujuk kepada pihak MADA untuk tindakan lanjut.
“Saya minta perkara ini juga diberi perhatian (oleh) pihak Mardi (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) untuk menjalankan penyelidikan bagi mencari punca kepada penyakit tanaman itu, jika tidak diatasi...dibimbangi boleh meluas dan menjejaskan keterjaminan makanan di Malaysia,” katanya. -Bernama