KUALA LUMPUR: Pengumuman terbaru kerajaan berhubung inisiatif Pakej RAHMAH Insurans dan Pakej RAHMAH Takaful boleh dianggap sebagai satu bentuk insurans nasional “percuma” yang disediakan Kerajaan Perpaduan dengan kerjasama sektor swasta.
Ketua Bahagian Sosial, Perundangan dan Hak Asasi di EMIR Research, Jasoh Loh Seong Wei berkata inisiatif itu membolehkan rakyat Malaysia terutamanya kumpulan B40 mendapatkan perlindungan insurans atau takaful kemalangan diri dengan sumbangan bulanan serendah RM5 atau RM36 setahun, sememangnya memberi manfaat kewangan dan sosioekonomi kepada rakyat.
“Inisiatif RAHMAH Insurans oleh Kerajaan MADANI adalah polisi yang amat dipuji bertujuan meringankan beban kewangan rakyat terutama golongan B40. Dengan harga premium tahunan yang sangat rendah, bermakna ia bebas kos untuk rakyat dan boleh dianggap sebagai satu bentuk insurans nasional ‘percuma’ yang disediakan kerajaan dengan kerjasama sektor swasta.
“B40 dan kumpulan pertengahan M40, mereka yang bekerja sendiri, kontraktor bebas serta pekerja dalam sektor ekonomi gig terutama penghantar makanan dan barangan akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini kerana ramai yang tidak berpeluang mendapatkan perlindungan insurans kesihatan berikutan sumber kewangan yang terhad atau tidak dilindungi oleh majikan mereka,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kadar penembusan insurans dan takaful negara ini direkodkan 56.1 peratus berbanding 100 peratus di negara maju yang menunjukkan kadar yang membimbangkan dan tidak memuaskan.
Justeru, Loh berpendapat inisiatif pakej RAHMAH Insurans dan RAHMAH Takaful pastinya dapat membantu meningkatkan jumlah pemegang polisi.
“Ia pastinya merupakan inisiatif strategik dan utama dalam memperkukuh dan meningkatkan kadar liputan di negara ini,” katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub baru-baru ini mengumumkan pakej perlindungan diri RAHMAH yang ditawarkan syarikat Allianz General Insurance Bhd, Etiqa General Insurance Bhd dan Etiqa General Takaful Bhd.
Loh mencadangkan kerajaan Persekutuan agar bersinergi dan menjalin kerjasama strategik dengan berapa negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor yang mempunyai jumlah populasi bandar yang tinggi untuk memastikan liputan inisiatif itu turut melibatkan akses penjagaan kesihatan oleh hospital swasta terutama yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan negeri seperti Selgate Corporation dan KPJ.
“Inisiatif RAHMAH Insurans juga seharusnya diperluaskan secara progresif untuk meliputi rakyat dari buaian hingga ke liang lahad, contohnya mengetepikan sebarang had kelayakan dari segi umur seperti sedia ada yang menawarkan individu berumur 16 hingga 65 tahun dan hanya boleh diperbaharui sehingga pemegang polisi berumur 70 tahun,” katanya.
“Bagi individu yang bekerja sendiri, kontraktor bebas dan pekerja berpendapatan rendah, perlu ada beberapa skim yang membolehkan pembayaran untuk kehilangan pendapatan akibat ketidakupayaan dan penyakit serius yang lain.
“Bagi yang berpendapatan rendah, ia sepatutnya melengkapkan Skim Insurans Pekerjaan (EIS) mereka dan memastikan mereka tidak terjerumus dalam perangkap hutang, contohnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Gabungan e-hailing Malaysia Jose Rizal menyambut baik inisiatif berkenaan yang memberikan lebih pilihan dan tambahan kepada mereka yang bekerja dalam bidang ekonomi gig membabitka e-hailing dan p-hailing untuk mendapatkan perlindungan tambahan.
Beliau juga meminta kerajaan melihat kepada pemerkasaan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) yang memberikan perlindungan sosial yang hampir sama bagi mereka dalam bidang berkenaan, dikategorikan sebagai Orang Bekerja Sendiri (OBS) melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). -Bernama