Your Title

PUTRAJAYA: “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Ungkapan itu sering dilaungkan oleh pelajar berkeperluan pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Undang Abdul Manap, Negeri Sembilan bilamana Ogos iaitu Bulan Kebangsaan.

Mereka memahami ungkapan tersebut membawa makna besar buat Malaysia dan bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2023, seramai sembilan pelajar berkeperluan khas itu menghasilkan kek ‘Merdeka’ dengan bertemakan corak Jalur Gemilang. bagi menzahirkan semangat patriotisme terhadap negara.

Penyelaras Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah itu Dora Drajeena Mohammad Nawi Cheng berkata pelajar berkeperluan khas berusia 15 hingga 19 tahun berkenaan amat teruja apabila diberikan tugasan menyemarakkan Hari Kebangsaan tahun ini dengan menghasilkan kek, sekali gus dapat menzahirkan semangat patriotisme mereka terhadap negara.

“Mereka ini selalunya buat roti tetapi cabaran kali ini buat kek dengan hiasan warna Jalur Gemilang di bahagian atasnya. Dekorasi kek menggunakan aising berwarna merah, biru, kuning dan putih dibuat pelajar mengikut kreativiti sendiri dengan dipantau oleh guru-guru,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata proses membuat enam biji kek ‘Merdeka’ itu mengambil masa lebih satu jam.

“Ini usaha sekolah mendidik pelajar berkeperluan pendidikan khas mengenai rasa cinta akan negara,“ katanya dan menambah sekolah itu mempunyai 18 pelajar kumpulan itu termasuk yang mempunyai masalah pembelajaran.

“Masuk sahaja bulan Ogos, pelajar-pelajar ini teruja sebab mereka tahu apa ertinya ‘Merdeka’,“ katanya.

Dora Drajeena berkata pelajar-pelajar berkeperluan khas sekolah itu mempunyai potensi dalam bidang pembuatan roti dan diharapkan mereka dapat berdikari apabila menamatkan persekolahan nanti.

“Semoga mereka dapat mengambil ilmu dan kemahiran yang dipelajari untuk menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran membuat roti, kek atau pastri mengikut minat masing-masing,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos ini dengan tema “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”. -Bernama