BUKIT MERTAJAM: Seorang pemilik pasar mini ditahan kerana menyorok sebanyak 1,557 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi sekilogram yang bernilai RM3,892.50 dalam serbuan di sebuah rumah teres di Taman Seri Tambun, Simpang Ampat dekat sini semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S. Jegan berkata pihaknya menyerbu rumah yang dijadikan stor itu pada 1.50 tengah hari, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sejak beberapa hari lepas.

“Semasa serbuan, tiada sesiapa di rumah itu, namun pemeriksaan lanjut menemukan 1,557 kg minyak masak paket di ruang tamu kediaman tersebut dan kami percaya ia dijadikan tempat stor menyimpan minyak masak bersubsidi sekilogram tersebut yang merupakan barang kawalan.

“Lelaki berumur 50-an itu ditahan di pasar mini miliknya yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah itu, sebenarnya kami telah membuat risikan sejak beberapa hari lepas dengan pemantauan dilakukan oleh anggota dengan berpakaian preman.

“Pemeriksaan kami juga mendapati kedai runcit milik lelaki tempatan itu tidak menjual minyak paket bersubsidi dengan meletakkan notis bekalan (minyak masak bersubsidi) tiada di situ,“ katanya pada sidang akhbar di Stor Simpanan Ekshibit KPDN di Bukit Minyak, di sini hari ini.

Jegan berkata walaupun pasar mini itu mempunyai permit barang kawalan berjadual, lelaki terbabit bertindak menyembunyikan minyak masak itu di rumahnya untuk dijual kepada pihak industri dengan harga lebih mahal daripada harga subsidi, namun lebih murah berbanding harga pasaran.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati rumah itu tidak mempunyai permit untuk menyimpan barang kawalan berjadual dan siasatan lanjut dijalankan untuk mengetahui lokasi penjualan semula minyak masak berkenaan.

“Namun kami percaya peniaga itu menyorok minyak bersubsidi itu kerana mahu menjual atau menyeleweng kepada pihak ketiga bagi mendapatkan keuntungan lebih,“ katanya dan menambah kes disiasat menurut Akta Kawalan Bekalan 1961.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image