ALOR SETAR: Seorang pemilik syarikat logistik direman tiga hari bermula hari ini kerana dipercayai memberi rasuah kepada pegawai agensi penguat kuasa semasa melakukan aktiviti penyeludupan daging sejuk beku dari negara jiran.
Sumber memaklumkan lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan 11 malam semalam di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, selepas diminta hadir bagi membantu siasatan.
“Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 29 Sept itu telah dikeluarkan oleh Majistret Nurshahida Abdul Rahim selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi,” menurut sumber.
Suspek dipercayai melakukan aktiviti penyeludupan daging sejuk beku menerusi pintu sempadan Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu sejak awal tahun ini.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kedah Rosley Mohamad Satar ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b)(B) Akta SPRM 2009. -Bernama