IPOH: Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) INSAN telah memberi impak positif dalam meningkatkan julat pendapatan rakyat terutama golongan B40 yang sememangnya mencari sumber pendapatan sampingan untuk menampung peningkatan kos hidup semakin menghimpit.
Seorang peniaga Muhammad Nasrullah Ramli, 39, berkata inisiatif ini banyak membantu menambah pendapatan keluarganya dengan meraih RM1,000 hingga RM1,500 sebulan menerusi perniagaan mesin layan diri.
“Saya menjual pelbagai makanan dimasak sendiri antaranya nasi lemak, mi dan bihun goreng, sandwich dan kuih pada harga antara RM1 hingga RM5 menerusi mesin layan diri yang terletak di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tapah,“ katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Muhammad Nasrullah yang masih berniaga di tepi jalan di Kampung Mak Teh Tapah Road berkata, penyediaan mesin di universiti memberi pilihan kepada mahasiswa membeli makanan siap masak pada harga berpatutan.
“Saya akan letak makanan pada 6 pagi setiap hari dan menggantikan makanan baharu pada 12 tengah hari seperti saranan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Bulan pertama memang agak sukar namun selepas tiga bulan mengusahakannya alhamdulillah memang menunjukkan peningkatan dan selepas ini saya akan tambah baik dengan memperbanyakkan lagi makanan dalam mesin,” katanya.
Seorang lagi peserta Muhammad Farid Che Lazim, 26, dari Pasir Mas, Kelantan berkata dia mengendalikan sebuah mesin layan diri makanan dan minuman yang ditempatkan di Pejabat Daerah dan Tanah Kinta terletak di Gugusan Manjoi dekat sini.
“Saya memohon untuk menjadi peserta IPR ini sejak Jun tahun lepas dan proses semua dilakukan secara dalam talian sahaja dan ia tidaklah begitu sukar apabila kita memenuhi syarat ditetapkan.
“Antara menu yang dijual adalah nasi lemak telur mata, mi goreng, sandwich, bebola ikan, aneka kuih muih selain pelbagai jenis minuman dalam tin dan kotak. Kesemua makanan itu saya masak sendiri dan makanan yang terdapat dalam mesin layan diri itu akan ditukar setiap enam jam mengikut prosedur ditetapkan,“ katanya.
Muhammad Farid berkata selain menjadi peserta IPR, beliau turut mempunyai sebuah gerai makanan di Taman Perpaduan di sini yang menjual pelbagai jenis masakan Pantai Timur dan memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM1,500 sebulan.
“Apabila saya menyertai program IPR ini, tidak sampai sebulan saya telah memperoleh hasil jualan daripada mesin layan diri makanan dan minuman tersebut kira-kira RM1,300.
“Saya berasa sangat seronok apabila mendapat hasil jualan yang agak lumayan. Secara tidak langsung saya dapat menambah pendapatan keluarga dan pada masa sama saya masih boleh mengendalikan gerai makanan,“ katanya yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki.
Sementara itu, seorang guru agama sambilan di sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) di Ipoh berjaya meraih keuntungan sebanyak RM13,000 sejak mula menjalankan perniagaan mesin layan diri pada pertengahan September tahun lepas di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh.
Ismail Awang, 36, menjelaskan perniagaan tersebut bukan hanya menjimatkan masa malah membantu dalam meringankan kos sara hidup.
“Ia banyak membantu saya menjana pendapatan sampingan tanpa perlu berada di lokasi terlalu lama. Saya juga akan menerima notifikasi melalui aplikasi mesin layan diri ini sekiranya bekalan makanan tersebut habis dijual.
“Makanan yang dijual melalui mesin ini di bawah harga RM5 dan kebanyakannya dibuat sendiri. Antaranya seperti burger ayam, sandwich, kek pelbagai perisa, spageti, nasi lemak dan air minuman dalam tin serta kotak,” katanya.
Ismail yang berasal dari Kuala Kangsar berkata kualiti makanan antara yang diberikan penekanan utama seperti disarankan KKM dalam memastikan pendapatan dijana melalui mesin berkenaan mencapai sasaran ditetapkan.
Pada Mac lepas, Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli melancarkan program mesin layan diri IPR dan kerajaan menyasarkan mesin berkenaan dapat diperluas kepada 5,000 penerima di bawah IPR INSAN pada tahun ini.
Menerusi inisiatif INSAN, penerima akan diberikan mesin layan diri di tempat terpilih serta kos sewaan bulanannya yang dianggarkan antara RM600 hingga RM800 ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan selama dua tahun.
Pada 24 Feb tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023, berkata kerajaan akan melaksanakan IPR dengan peruntukan RM750 juta kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan inisiatif berkenaan.
Program itu menyasarkan peserta meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan dalam tempoh pemantauan 24 bulan dan selepas itu dapat menjana pendapatan sendiri melalui hasil yang diperoleh.
Menerusi program itu, peserta boleh membuat permohonan IPR yang terdiri daripada kategori Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN). -Bernama