LABUAN: Projek Perumahan Rakyat (PPR) bernilai RM112 juta di Jalan Batu Arang, Tanjung Aru di sini hampir siap dan dijangka boleh diduduki tahun depan.
Pengurus Projek RD Resources, pemaju bagi projek itu, Norsalmiza Mohammad berkata walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19 dan isu logistik berkaitan bahan binaan, kemajuan projek itu kini 94 peratus siap dan dijadual selesai pada April 2024.
Beliau berkata pembinaan projek di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melibatkan dua blok bangunan 13 tingkat mengandungi 500 unit pangsapuri itu, dimulakan sejak Januari 2018.
Setiap unit berukuran 65.04 meter persegi dan mempunyai tiga bilik bagi memenuhi keperluan rakyat khususnya daripada golongan B40.
“Projek itu pada awalnya dijadual siap pada April 2021, tetapi mengalami kelewatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik dan keperluan mendapatkan bahan binaan dari Sabah dan Semenanjung,” katanya kepada Bernama hari ini.
Norsalmiza melahirkan keyakinan terhadap kemajuan projek itu, sambil menekankan bahawa usaha bersepadu dibuat bagi mempercepatkan penyiapannya.
“Kami berkerja sepanjang masa untuk mempercepatkan projek itu bagi memastikan tiada lagi kelewatan dalam menyiapkannya,” katanya.
Perumahan tersebut turut dilengkapi dewan orang ramai, surau, tadika, rumah kedai dan taman permainan untuk kemudahan penghuninya. -Bernama