MUAR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Sungai Abong Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh, menyifatkan calon Pakatan Harapan (PH) Simpang Jeram Nazri Abdul Rahman sebagai seorang individu yang komited membantu rakyat, tanpa mengira fahaman politik.

Dr Sheikh Ibrahim bekas Adun dua penggal di kawasan berkenaan yang kini dikenali sebagai Simpang Jeram, berkata ia dibuktikan semasa Nazri sebagai jurutera di Majlis Perbandaran Muar (MPM), apabila beliau banyak membantunya menyelesaikan masalah rakyat, walaupun bukan daripada parti kerajaan.

“Saya mengenalinya sejak 1999 dan beliau sangat profesional ketika bertugas dan tidak pernah memilih warna, dalam membantu mana-mana wakil rakyat ketika itu.

“Apabila saya buat aduan pasal masalah pembangunan dan rakyat sini, dia cuba fahami dan bantu, jadi kerja saya sebagai ADUN sangat-sangat mudah, tak ada masalah... dia tidak berat sebelah, tak pilih warna (parti politik),” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Sehubungan itu Dr Sheikh Ibrahim berkata walaupun beraksi sebagai wakil rakyat pembangkang pada ketika itu, namun kerja dan khidmatnya kepada penduduk tidak sesukar mana kerana Nazri sedaya upaya mempermudah urusan beliau.

Beliau yang menyertai Amanah pada 2019 dan kini menjadi Pengarah Pilihan Raya PH Simpang Jeram berkata Nazri, yang turut memiliki Sarjana Kejuruteraan Awam dilihat memiliki kesungguhan untuk membantu rakyat di kawasan itu, khususnya dalam menyelesaikan permasalahan banjir kilat.

Individu yang menubuhkan PAS di kawasan Bakri pada 1985 dan pernah menjadi Yang Dipertua PAS Bakri itu berkata disebabkan itulah, Nazri sanggup menyiapkan kajian peringkat doktor falsafah (PhD) yang mengkhususkan kepada isu banjir, walaupun pada usia yang sudah mencecah hampir 60 tahun.

“Beliau siapkan PhD bukan untuk cari kerja lebih baik, tapi kerana nak tahu lebih lanjut masalah banjir jadi kita nampak komitmen itu. Pada saya dialah orang yang hebat, dia lebih hebat daripada saya kalau dia jadi YB (Yang Berhormat),” katanya.

Dr Sheikh berkata walaupun ada pihak mempertikai mengapa Nazri tidak boleh selesaikan 100 peratus masalah banjir ketika bertugas di MPM, namun sebagai anak jati dan bekas ADUN di kawasan itu, beliau melihat permasalahan berkenaan telah diatasi dengan lebih baik, berbanding belasan tahun yang lepas.

“Dia (Nazri) bincang masalah, rancang penyelesaian, dia buat kerja, tapi kena ingat dana bukan daripada dia, kalau kerajaan negeri atau Kerajaan Persekutuan luluskan baru bagi dana,” katanya.

PRK di Simpang Jeram dan Pulai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PN, BN-PH dan Bebas, dengan Nazri akan berdepan saingan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Mazri Yahya daripada PN dan calon Bebas yang juga ahli perniagaan S. Jeganathan.

SPR menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak pada Sabtu ini. -Bernama