SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (gambar) menyifatkan pengumuman tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 12 Ogos depan adalah tarikh yang sesuai.

Beliau berkata hari pengundian pada Sabtu pastinya akan memberi peluang kepada orang ramai terutama pengundi yang berada di luar negeri untuk pulang ke kampung bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Saya yakin kalau sesiapa yang kerja hari Sabtu pun mungkin boleh cuti separuh hari untuk jalankan hak mereka, ia juga memberi ruang terutama kepada pengundi luar mengatur perjalanan untuk balik mengundi di kampung masing-masing, yang tempatan agak mudah tapi yang berada di luar negeri saya minta balik awal.

“Saya rasa sebahagian besar ahli politik pun memang meramalkan tarikh berkenaan, mereka meramalkan minggu kedua hujung Julai untuk penamaan calon, Ogos pengundian dan sebagainya..itu pandangan mereka, dan sebenarnya mereka telah bersedia,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Negeri di sini hari ini.

SPR hari ini mengumumkan PRN di Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian, dan hari penamaan calon pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Aminuddin berkata tempoh 14 hari kempen yang ditetapkan SPR adalah mencukupi dan munasabah untuk dimanfaatkan semua calon kerana PRN di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) meliputi kawasan yang lebih kecil berbanding pada Pilihan Raya Umum (PRU).

“Tiada masalah, kerana kita baharu sahaja hadapi PRU, kita hanya perlu refresh balik..,” kata beliau yang juga merupakan penyandang kerusi DUN Sikamat itu.

Katanya beliau telah menawarkan diri untuk bertanding pada PRN kali ini, namun sebarang keputusan adalah ditetapkan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan PKR yang akan dimaklumkan nanti.

“Secara peribadi memang saya tawarkan diri untuk teruskan khidmat sebagai calon, tapi terpulang kepada parti untuk menentukan, jadi calon kawasan mana pun juga diserahkan kepada mereka, kalau contohnya diminta ke Kedah (bertanding), saya juga akan turutkan,” katanya.

Pada PRU14, Negeri Sembilan yang memiliki 36 kerusi menyaksikan PH menguasai 20 kerusi (DAP (11), PKR (6), Amanah (3)) manakala BN, 16 kerusi (Umno (15) dan MIC (1).

Negeri Sembilan juga menjadi satu-satunya negeri memanfaatkan sepenuhnya tempoh mandat lima tahun bagi penggal ke-14 sebelum DUN dibubarkan secara rasmi, pada 1 Julai dan mengikut daftar pemilih pilihan raya SPR, jumlah keseluruhan penggundi di negeri itu adalah 864,425. -Bernama