GEORGE TOWN: Pulau Pinang mengalu-alukan ketibaan dua kapal persiaran terkenal, Genting Dream dan Royal Caribbean Spectrum Of The Seas yang berlabuh serentak di Terminal Pelayaran Jeti Swettenham Pulau Pinang, semalam.

Dalam usaha proaktif untuk meningkatkan pelancongan pelayaran dan mengukuhkan perkongsian dalam industri, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai dan pihak berkepentingan utama telah menyambut ketibaan kedua-dua kapal persiaran itu dan turut melawat Terminal Pelayaran Jeti Swettenham.

Wong berkata lawatan itu bertujuan meneroka peluang kerjasama dan menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk menyediakan pengalaman luar biasa kepada penumpang pelayaran dan membincangkan strategi untuk meningkatkan lagi sektor pelancongan pelayaran di rantau ini.

Beliau berkata lokasi Pulau Pinang yang strategik di tengah Asia Tenggara, berfungsi sebagai pelabuhan yang ideal untuk kapal persiaran merentasi rantau ini dan menjadi satu daripada beberapa pelabuhan bandar di Malaysia.

Terminal Pelayaran Jeti Swettenham di sini, bukti dedikasi Pulau Pinang dalam menyediakan kemudahan dan perkhidmatan bertaraf dunia untuk pelancong pelayaran.

“Dengan siapnya projek peluasan Terminal Pelayaran Jeti Swettenham baru-baru ini, membolehkan kapasiti pelabuhan ditingkatkan untuk menampung sehingga dua kapal persiaran bersaiz kuantum dan kemudahan tingkat atasnya mampu menampung 12,000 penumpang, membolehkan kapal Genting Dream dan Royal Caribbean Spectrum Of The Seas berlabuh serentak.

“Lokasi strategik terminal membolehkan pelancong melawat Tapak Warisan Dunia UNESCO sebaik mereka turun dari kapal persiaran dan pelawat berpeluang mengenali Pulau Pinang daripada lawatan lapan jam yang akhirnya akan menggamit pelancong untuk kembali ke sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wong berkata semasa lawatan itu, perbincangan libat urus telah diadakan dengan pihak pengurusan terminal dan kakitangan, sebagai platform bertukar-tukar idea dan pandangan mengenai masa depan pelancongan pelayaran di Pulau Pinang.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama berpasukan dalam memacu pertumbuhan dan kemampanan industri pelancongan Pulau Pinang.

Wong berkata pelaburan berterusan dalam infrastruktur, latihan dan usaha promosi adalah penting untuk memastikan Pulau Pinang kekal sebagai destinasi utama bagi pelancong pelayaran dunia dan memberi sumbangan positif kepada pertumbuhan dan pembangunan mampan ekonomi Pulau Pinang.

Beliau menambah 2024 sudah pasti akan membawa pengalaman baharu kepada pelancong pelayaran yang melawat Pulau Pinang kerana syarikat pelayaran utama telah memperkenalkan kapal persiaran yang direka secara inovatif untuk memenuhi pelbagai pilihan perjalanan.

“Selain ketibaan serentak Genting Dream dan Royal Caribbean Spectrum Of The Seas, Royal Caribbean juga akan melancarkan ‘Utopia Of The Seas’ pada Julai 2024.

“Selain itu, Princess Cruises juga akan melancarkan ‘Sun Princess’, manakala Disney Cruise Line merancang untuk memperkenalkan ‘Disney Treasure’ bertemakan pengembaraan pada Disember 2024,“ katanya.

Beliau berkata memandangkan Pulau Pinang terus berkembang sebagai destinasi pelancongan pelayaran terulung, kerajaan negeri kekal komited menjalin kerjasama dengan laluan pelayaran, pengusaha pelancongan dan pihak berkepentingan bagi meningkatkan pengalaman pengunjung secara keseluruhan.

Wong berkata melalui usaha sama itu, adalah menjadi matlamat kerajaan negeri untuk mempamerkan layanan terbaik di Pulau Pinang, memastikan setiap pelancong pelayaran pulang dengan kenangan terindah selain melahirkan rasa untuk kembali ke negeri ini.

Kapal Genting Dream adalah kemegahan Resort World Cruises yang mempunyai 18 dek yang mampu menempatkan 3,352 penumpang yang merupakan pencetus trend dalam hospitaliti selama 50 tahun.

Sementara itu, Royal Caribbean Spectrum Of The Seas, kelas kuantum yang memenangi anugerah dan ia disenaraikan dalam 30 kapal persiaran terbesar di dunia dengan jumlah 14 dek tetamu yang menampung 5,622 penumpang. -Bernama