JOHOR BAHRU: Syarikat Pembekal Air Johor Ranhill SAJ Sdn Bhd diarah untuk membuat persiapan bagi menangani isu kekurangan bekalan air di beberapa daerah di negeri ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (gambar) berkata ia susulan cuaca panas yang berlaku sepanjang Mac sehingga kini yang mengakibatkan paras air di empangan dan tangki air menurun di beberapa kawasan.

Menurutnya, antara langkah yang akan dan sedang diambil ialah inisiatif pengolahan Sistem Bekalan Air Loji Rawatan Air (LRA) Layang 2 yang telah mula beroperasi dan akan menyelesaikan masalah bekalan air di sekitar kawasan Kempas, Bukit Indah dan Pandan.

“Langkah seterusnya ialah pemasangan Pam Penggalak di tangki Mengkibol, pengoperasian ‘Inline Injection’ dengan menggunakan lori tangki berkapasiti 42 hingga 45 tan sebagai bekalan air tambahan melalui pili bomba.

“Selain itu, projek menaik taraf sistem agihan (pemasangan paip Mild Steel Bersaiz 450 milimeter (mm) dan 500 mm) sepanjang 1.4 kilometer ke tangki Layang-Layang dan juga cadangan alternatif pam Poonton di empangan Sembrong Barat untuk abstrak air mentah ke LRA Sembrong Barat bagi meningkatkan pengeluaran air terawat,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik melalui laman Facebooknya hari ini.

Onn Hafiz dalam pada itu, turut berkata Ranhill SAJ telah bersiap siaga untuk operasi Persediaan OPS Aidilfitri 2024 yang akan bermula hari ini hingga 17 April.

Selain itu katanya, sebanyak 27 lori tangki air dan 294 tangki air statik akan dipasang di beberapa kawasan hotspot di seluruh Johor.

“Kerajaan negeri sentiasa memandang serius isu ketiadaan air, sama ada untuk kegunaan seharian rakyat mahupun sektor industri.

“Insya-Allah, prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani perkara sebegini akan disemak dan ditambah baik agar bekalan air di Johor stabil serta tidak terganggu, terutamanya pada hari raya yang menjelang tiba tidak lama lagi. Semoga segala urusan dipermudahkan. Insya-Allah,” katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata paras air di Empangan Bekok, Machap dan Sembrong hanya mampu bertahan selama 55 hari sekiranya tiada hujan hingga 30 April ini.

Menurutnya, kesemua empangan terbabit mengalami penurunan yang signifikan, namun masih belum berada di bawah paras kritikal dan kerajaan negeri sedang memantau keadaan semasa di empangan terlibat dan menunggu hingga akhir bulan untuk lihat purata hujan.

Katanya, setakat ini keadaan masih terkawal dan tiada perancangan untuk membuat catuan air di kawasan terlibat dan sebagainya. -Bernama