Your Title

PUTRAJAYA: Bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali (gambar) hari ini gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah RM10 juta yang difailkannya terhadap Tan Sri Lim Kit Siang.

Panel tiga hakim terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk M.Gunalan dan Datuk Azmi Ariffin, dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan Mohamed Apandi selepas memutuskan tiada merit untuk rayuan itu.

“Keputusan Mahkamah Tinggi disahkan dan perayu (Mohamed Apandi) perlu membayar kos RM100,000 kepada responden (Lim),” kata Hakim Hadhariah.

Pada 23 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Mohamed Apandi terhadap veteran DAP itu dan kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan keesokan harinya.

Mohamed Apandi menyaman Lim kerana didakwa memfitnah beliau dalam artikel mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ketika membaca keputusan mahkamah, Hakim Hadhariah berkata dalam kes ini, Lim menyatakan bahawa beliau mempunyai hak untuk mengetahui bagaimana skandal kewangan 1MDB disiasat oleh pihak berkuasa.

“Kami juga bersetuju bahawa sebagai Ahli Parlimen (Iskandar Puteri, Johor ketika itu), defendan (Lim) mempunyai kewajipan untuk menyoal apa yang sedang berlaku berhubung siasatan skandal 1MDB.

“Skandal 1MDB adalah skandal kewangan melibatkan dana awam, bekas perdana menteri sendiri terlibat. Ia dianggap sebagai skandal kewangan terbesar yang pernah dihadapi negara.

“Sebagai Ahli Parlimen, defendan mempunyai kewajipan untuk membangkitkan perkara-perkara yang berkepentingan awam kepada pengundinya, terutamanya mengenai kes wang rakyat yang melibatkan seorang perdana menteri (Najib). Pembaca blognya, termasuk rakyat Malaysia berhak untuk dimaklumkan tentang perkembangan penyiasatan terhadap skandal itu.

“Kami mendapati hakim perbicaraan betul dengan berpegang bahawa perkataan yang dipersoalkan oleh Lim dibuat atas perlindungan bersyarat,” katanya.

Hakim Hadhariah berkata Mahkamah Rayuan bersetuju dengan kesimpulan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi mengenai kredibiliti plaintif (Mohamed Apandi).

“Keengganan beliau (Mohamed Apandi) untuk menawarkan atau mendapatkan bantuan undang-undang dari negara lain untuk menyiasat skandal 1MDB adalah semata-mata, dalam fikirannya, kerana tidak ada kesalahan jenayah yang dilakukan oleh bekas perdana menteri itu,” katanya.

Hakim itu berkata Lim dalam keterangan lisannya berkata Mohamed Apandi sebagai Peguam Negara (AG) pada masa itu, secara praktikalnya tidak mengambil sebarang langkah sewajarnya untuk menyiasat skandal 1MDB.

“Kami bersetuju sepenuhnya dengan tindakan Lim. Tindakan atau langkah untuk tidak bertindak oleh Mohamed Apandi dalam mengendalikan skandal 1MDB memberi gambaran kepada masyarakat Malaysia bahawa beliau menutup skandal 1MDB atas sebab yang hanya diketahui olehnya.

“Kelakuannya menunjukkan beliau takut untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Peguam Negara seperti yang dijangkakan secara munasabah oleh peraturan. Pada pandangan kami, satu-satunya perkara munasabah yang disimpulkan daripada perkataan yang dipersoalkan bahawa plaintif telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai Peguam Negara,“ katanya.

Hakim itu berkata dalam kes ini, kata-kata yang dipertikaikan itu terbukti benar dan berasas.

“Ia semestinya mengikut bahawa jika reputasi plaintif (Mohamed Apandi) terjejas, ia adalah kerana kelakuannya sendiri. Beliau adalah penulis nasib malangnya sendiri,” katanya.

Mohamed Apandi diwakili peguam Rueben Mathiavaranam manakala peguam Sangeet Kaur Deo, mewakili Lim.

Dalam saman yang difailkan pada 5 Julai 2019, Mohamed Apandi mendakwa pada 6 Mei 2019, Lim telah menulis dan membawa kepada penerbitan artikel bertajuk, Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity dalam Malaysiakini.

Beliau mendakwa perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud bahawa beliau terlibat dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika serta telah menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi Peguam Negara.

Mohamed Apandi yang menyandang jawatan Peguam Negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, mendakwa perkataan fitnah itu adalah tidak benar dan ditulis dengan niat mencemarkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara Malaysia bagi meraih publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Lim dan/atau ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. -Bernama