• 2024-02-06 08:22 PM

KUANTAN: Tindakan saman RM100,000 sehari akan dikenakan terhadap pihak kontraktor projek pemasangan paip pembentungan di sekitar bandar raya Kuantan sekiranya pembinaan yang keseluruhannya melibatkan 70 kilometer itu gagal disiapkan selepas 30 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang Sim Chon Siang (gambar) berkata projek bermula pada 2018 itu telah beberapa kali diberikan lanjutan tempoh masa.

“Kerajaan negeri memberikan hingga 30 April ini untuk mereka (kontraktor) menyiapkan projek itu dan mereka juga perlu memastikan kerja yang berkaitan dengan projek pembentungan termasuk jalan yang berlubang dan mendap dibaik pulih dengan baik bagi mengelak berlakunya kemalangan.

“Kita mahu mereka menyiapkan kerja menurap dengan segera dan menyediakan pengawal lalu lintas di jalan terlibat bagi menjamin keselamatan pengguna,“ katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi pelaksanaan projek itu di Jalan Teluk Sisek di sini hari ini.

Sim berkata perkembangan projek berkenaan juga telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang pada dua minggu lepas.

Sementara itu, Pengurus Besar Syarikat Jalur Cahaya Sdn Bhd selaku kontraktor projek, Razali Mohamed menjamin keseluruhan projek itu dapat disiapkan menjelang penghujung April ini.

“Pelaksanaan projek yang membabitkan lokasi sekitar bandar Kuantan hingga Kampung Sungai Soi hanya berbaki kira-kira 650 meter dan antara masalah dihadapi adalah aliran air dalam tanah yang menyebabkan berlaku pemendapan tanah di kawasan terbabit,“ katanya.

Razali berkata projek pembentungan itu juga memerlukan pengorekan lebih dalam bagi menanam paip pembentungan iaitu lebih 10 meter berbanding utiliti lain yang memerlukan galian antara satu hinggga tiga meter sahaja.

Disebabkan itu, aliran air bawah tanah sekitar bandar Kuantan ditambah campuran pasir halus menyebabkan berlakunya pemendapan tanah secara semula jadi di kawasan yang digali bagi tujuan penanaman paip.

Bagaimanapun perkara itu, telah dan akan diatasi dengan membuat tampalan sementara sebelum tampalan kekal dibuat selepas pemasangan paip pembentungan selesai sepenuhnya. -Bernama