SHAH ALAM: SIRIM QAS International Sdn Bhd hari ini melancarkan pensijilan dan pengujian terhadap selimut kebakaran kenderaan elektrik (EV) sebagai komitmen prokeselamatan kerajaan dalam pembangunan ekosistem kenderaan berkenaan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (gambar) berkata pelancaran pensijilan serta perkhidmatan terbaharu itu susulan peningkatan jumlah kenderaan elektrik di dalam negara ini.

“Selain itu, perkhidmatan terbaharu itu juga ialah komitmen SIRIM (SIRIM Berhad) dalam menyokong garis panduan perancangan pengecasan kenderaan elektrik kerajaan, seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan demonstrasi penggunaan selimut kebakaran EV oleh pihak SIRIM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Hairil Yahri Yaacob, Pengerusi SIRIM Datuk Dr Khairol Anuar Mohamad Tawi serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad.

Mengulas mengenai ujian terhadap produk berkenaan, Tengku Zafrul berkata pihaknya komited dalam memastikan bahawa selimut kebakaran yang tersedia di pasaran memenuhi kriteria ujian yang diperlukan bagi standard EN 13501-1.

“Apa yang penting, selimut kebakaran itu berupaya untuk menahan api dan mengurangkan pembebasan gas serta asap toksik, selain menerusi ujian prestasi selimut berkenaan mampu menahan suhu daripada 1000 °C.

“Kita di MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) juga akan memastikan produk keselamatan ini ada di pasaran dan menepati syarat-syarat serta piawaian yang ditetapkan oleh SIRIM,“ katanya dan menambah kos seunit selimut kebakaran EV kira-kira RM4,800 hingga RM5,000.

Beliau berkata SIRIM juga dalam proses untuk merangka piawaian keselamatan selimut kebakaran untuk industri bagi membolehkan garis panduan berkenaan diguna pakai oleh pihak pelabuhan dan pengendali logistik membabitkan kenderaan jenis sama.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata pihaknya juga bercadang untuk mewajibkan setiap operator stesen pengecas EV mempunyai selimut kebakaran terbabit.

“Cadangan ini perlu dibincangkan dengan pihak KPKT terlebih dahulu, kita akan bangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa EV nanti. Sekurang-kurangnya, ia bermula di kawasan yang berisiko tinggi,“ katanya. -Bernama