Your Title

TANJUNG MALIM: Stesen Parol Daerah (SPD) yang berfungsi sebagai pusat transit kepada pegawai parol dan pemantauan serta penyeliaan terhadap Orang Diparol (ODP), Orang Bebas Berlesen (OBB) dan Penghuni Bebas Lesen (PBL) dilancar hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata SPD itu adalah satu bentuk hukuman alternatif untuk ODP, OBB dan PBL iaitu menjalani pemulihan dalam komuniti di luar penjara.

Beliau berkata apabila individu terbabit dapat menyesuaikan diri dengan komuniti yang merupakan sebahagian daripada program, ia sekali gus mampu mencapai sasaran mengurangkan kesesakan dalam penjara, selain mengurangkan kadar resividisme (ulanglakuan jenayah).

“Kalau berjaya kurangkan keberadaan mereka dalam tembok penjara, apa penjimatan kita (kerajaan) - kita tak biayai kos minum dan makan mereka, setahun hampir RM18 juta penjimatan. (Namun) Bukan penjimatan kita jadi nombor satu (keutamaan), tetapi pemulihan dan peluang mereka menyesuaikan diri, bekerja dan boleh biayai keluarga yang mereka tinggalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran SPD Jabatan Penjara dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan (RELA) dekat sini, hari ini.

Setakat ini, 20 SPD diwujudkan di seluruh negara sebagai sokongan kepada 52 Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti sedia ada, dengan seramai 40 anggota Jabatan Penjara serta 40 anggota RELA bertugas di SPD bagi melaksanakan penugasan pemantauan dan penyeliaan.

Saifuddin berkata setakat Oktober tahun ini, Jabatan Penjara merekodkan 39,637 ODP sejak sistem itu diperkenalkan pada 2008, dan sebarang sasaran untuk menambah lagi SDP dalam negara pada masa hadapan bergantung kepada kemampuan serta bajet yang diperuntukkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata beliau tidak pernah menyebut bahasa Melayu sebagai syarat bagi mendapatkan pasport dan tiada penolakan permohonan setakat ini kerana masalah bahasa, namun bagi warga Malaysia dan berurusan di kaunter kerajaan, paling minimum ialah mereka boleh berbahasa Melayu bagi memudahkan urusan.

“Yang saya anjurkan adalah warga Malaysia termasuk pertubuhan Lawyers for Liberty (LFL) utamakan dahulu bahasa Melayu, itu isunya. Tak pernah jadi amalan imigresen menolak (permohonan pasport) kerana bahasa, dalilnya 2.3 juta permohonan pasport (dikeluarkan) tahun ini sahaja dan tiada rekod penolakan kerana masalah bahasa, data itu ada pada KDN.

“Balik pada isu pokok iaitu bahasa Melayu adalah perkara yang termaktub dalam Perlembagaan yang jadi kewajipan setiap warga Malaysia untuk menguasainya,” katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media semalam berkenaan LFL yang membidas beliau kerana membela seorang pegawai imigresen, yang memarahi seorang wanita dan anak perempuannya di Johor kerana tidak fasih dalam bahasa Melayu. -Bernama