KUALA LUMPUR: Kemunculan gejala fitnah dan hasad dengki yang semakin berleluasa kebelakangan ini boleh merosakkan pemikiran rakyat dan sehubungan itu, sempena sambutan Maal Hijrah 1445H/2023M, masyarakat perlu menjauhi amalan yang tidak mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (gambar) ketika sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan hari ini turut menitahkan perkara sama, iaitu rakyat tidak boleh berfikiran sempit dan negatif kerana perasaan hasad dengki dan amalan fitnah memfitnah tidak mendatangkan sebarang faedah.
Titah baginda, semangat hijrah serta sejarah penyatuan dan kesepaduan kaum Muhajirin dan Ansar yang berlaku 1,400 tahun yang lepas, wajar dijadikan pedoman utama dalam mengurus kepelbagaian dan kerencaman negara.
Pada sambutan Bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada Bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Datuk Dr Abdul Monir Yaacob dan Mufti Besar India Sheikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari yang dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.
Di MELAKA hampir 1,000 masyarakat Islam hadir meraikan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Auditorium Masjid Al-Azim di Bukit Palah, yang menyaksikan seramai 13 individu dipilih menerima anugerah dengan Datuk Othman Muhamad, 71, dinobat sebagai penerima Anugerah Abu Bakar As-Siddiq atau Tokoh Maal Hijrah 2023.
Anugerah disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Di SABAH, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin meminta rakyat negeri itu terus berfikir dalam merangka strategi, metodologi dan pendekatan yang sesuai supaya aspek keamanan yang dikecapi selama ini hasil daripada perpaduan kaum yang utuh terus dijaga dengan baik.
Dalam perutusannya sempena sambutan Maal Hijrah 1445H peringkat negeri, beliau mengingatkan rakyat bahawa tamadun yang telah dibentuk mungkin akan lenyap ditelan zaman sekiranya rakyat tidak menggunakan pendekatan yang holistik dan mapan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor turut hadir pada sambutan dihadiri kira-kira 500 orang yang diadakan di Wisma Majlis Ugama (RPT: Ugama) Islam Sabah di Kota Kinabalu.
Di PAHANG, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan.
Keberangkatan baginda pada 9.30 pagi diiringi Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dan disambut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengetuai barisan kepimpinan kerajaan negeri Pahang dan ketua-ketua jabatan.
Pada majlis berkenaan, Tengku Hassanal turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada mantan Ketua Hakim Syarie Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Md Yunos yang membawa pulang wang tunai RM10,000, sijil dan plak penghargaan.
Di SARAWAK, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir di majlis perhimpunan Sambutan Ma’al Hijrah peringkat negeri di Dewan Kompleks Islam Sarawak, Kuching.
Abang Johari dalam ucapannya menyeru umat Islam supaya mengambil semangat hijrah terutamanya dalam aspek mempelajari dan mencintai ilmu.
Katanya menerusi ilmu, dunia Islam bakal menjadi peneraju dalam pelbagai pengetahuan termasuk teknologi terkini.
Di TERENGGANU, sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri 1445H/2023M disambut sederhana dengan penyampaian pelbagai anugerah bagi meraikan pencapaian individu dan organisasi dalam bidang tertentu.
Bagaimanapun tiada pemenang bagi anugerah utama iaitu Tokoh Maal Hijrah Terengganu pada tahun ini atas faktor kelayakan.
Majlis diserikan dengan keberangkatan Sultan dan Sultanah Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin serta Sultanah Nur Zahirah yang diiringi Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhthar.
Di KEDAH, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mencemar duli hadir ke Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri yang diadakan di Hotel Raia.
Sambutan yang bermula pada pukul 10.30 pagi itu turut dihadiri Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Sultan Sallehuddin ketika bertitah berharap agar umat Islam di Kedah sentiasa hidup bersatu padu dan menjaga keharmonian bagi mengelak perpecahan berlaku.
Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah umat Islam hendaklah bersedia, malah wajib melakukan penghijrahan minda dan budaya agar berupaya memahami serta mentafsirkan isu-isu semasa daripada pelbagai dimensi, selain bertenaga menangani, menguasai situasi semasa, terutama revolusi teknologi yang sedang pesat berlaku.
Pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Perak di Ipoh itu, baginda berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Pengasas Yayasan Pembangunan Masjid Wilayah Bagan Serai Jurij Sulaiman; selain Anugerah Saidina Abu Bakar (Tokoh Ar-Ridzuan) kepada Pengerusi Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di Ipoh Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah serta lima anugerah lain.
Di JOHOR, majlis sambutan Maal Hijrah yang diadakan di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di Iskandar Puteri dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid.
Majlis itu turut dihadiri Datuk Bandar MBIP Datuk Mohd Haffiz Ahmad.
Anugerah Tokoh Maal Hijrah Johor diberikan kepada bekas Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Muar Shakirin Omar, lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir yang pernah menjawat pelbagai jawatan termasuk Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor.
Mohd Fared ketika berucap pada majlis itu berkata dalam menghadapi cabaran dan persaingan di peringkat global, semua pihak perlu memperkasakan diri dengan memperkukuhkan kesatuan dan kerjasama di antara satu sama lain. -Bernama