KUALA LUMPUR: Gula bertapis atau lebih dikenali sebagai gula putih, kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, kata Kementerian Kewangan (MOF).
Dalam kenyataannya hari ini, MOF berkata gula mentah yang digunakan dalam proses pengeluaran gula halus akan dikenakan Cukai Jualan sebanyak lima peratus.
“Namun, seperti yang telah diumumkan sebelum ini, pengilang dan penapis gula seperti MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) layak memohon pengecualian cukai ke atas bahan mentah dan inputnya.
“Sehubungan itu, tiada sebab berlaku sebarang kenaikan harga gula bertapis, lebih-lebih lagi kerana penapis gula seperti MSM terus menerima insentif bulanan daripada kerajaan bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga,” katanya.
Kenyataan MOF itu adalah sebagai mengulas kenyataan MSM mengenai kesan semakan semula Cukai Jualan ke atas gula mentah.