SEREMBAN: Tiga lelaki telah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak 62 jongkong tembaga milik sebuah syarikat di Nilai pada 27 September lepas.
R Uthayakumar, C Narendran dan V Navendre Nair membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada kira-kira 6 petang 27 September lepas di Jalan Seremban-Nenas Highway, Nilai mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurnediahani Mohd Ideris menawarkan jaminan 20,000 ringgit bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berdekatan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam S Khartigesan, yang mewakili Narendran, memohon jaminan rendah dikenakan ke atas anak guamnya atas alasan tertuduh bekerja sebagai pemandu lori, tergolong dalam kumpulan orang kurang upaya dan perlu menanggung isteri serta empat anak.
Uthayakumar, yang tidak diwakili peguam, pula merayu jaminan dikurangkan atas alasan perlu menjaga ibunya yang menghidap diabetes manakala Navendre Nair, yang merupakan seorang penganggur, juga memohon jumlah rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan 15,000 ringgit bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan dan menetapkan 10 November ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, G Gartick dan S Mithiran Nair pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Uthayakumar, Narendran serta Navendre.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Nurnediahani menawarkan jaminan 20,000 ringgit bagi setiap tertuduh serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan namun Khartigesan memohon agar jumlah itu dikurangkan atas alasan penjamin mereka tidak mempunyai wang yang mencukupi.
Surita membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin 15,000 ringgit dengan seorang penjamin serta melapor diri di balai polis setiap bulan dan menetapkan 10 November sebagai sebutan semula kes. – Bernama