GEORGE TOWN: Tiga rakan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar lebih 102 kilogram (kg) dadah jenis kanabis di kawasan kubur Cina di Jalan Mount Erskine, bulan lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada A. Nadarajan, 51, dan R. Thasvindran, 32, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Seorang lagi tertuduh, SR. Karanan, 35, tidak hadir ke mahkamah kerana berada di penjara.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada 3 petang 25 Jan lepas di Kwangtung, Jalan Mount Erskine di sini mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya M. Darrshini tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Nadarajan, yang diwakili peguam Edmund Anthony Hermon, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki kanabis seberat 7.82 gram di hadapan kandang lembu, Hong Seng Estate, di Jalan Mount Erskine di sini pada 4 petang 24 Jan lepas mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 16 April untuk sebutan semula kes. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image