BANGI: Belanda bersetuju untuk melanjutkan program di bawah perjanjian memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan dua organisasi bukan kerajaan (NGO) di Belanda bagi tempoh lima tahun lagi.
MoU tersebut ditandatangani pada tahun 2020 yang bertujuan mempercepatkan aspirasi Malaysia berhubung dengan pengeluaran minyak sawit yang mampan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar) berkata Belanda adalah pengimport minyak sawit terbesar antara negara Eropah dan negara itu juga menyokong Malaysia dalam isu berkaitan minyak sawit selama ini.
“Mereka (Belanda) telah menubuhkan NGO yang membantu pekebun kecil seperti IDH The Sustainable Trade Initiative, sebuah organisasi di Belanda yang menggalakkan perdagangan,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas perbincangan bersama-sama Perdana Menteri Belanda Mark Rutte sempena lawatan kerja dua hari Rutte ke Malaysia yang berakhir hari ini.
Menurut Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata melalui MoU yang ditandatangani antara MPOB dan IDH bertajuk ‘Sustainable Climate Smart Palm Oil Production by Smallholders in Malaysia’ (Pengeluaran Minyak Sawit Pintar Iklim Lestari oleh Pekebun Kecil di Malaysia), program kesedaran bagaimana untuk melaksanakan amalan pertanian yang baik akan dijalankan.
“Perbincangan pada pagi tadi menyentuh bagaimana program ini perlu dilanjutkan lagi dan mereka bersetuju untuk melanjutkan program ini selama lima tahun lagi. Mereka (NGO) akan diberikan dana untuk terus menyokong program ini,“ katanya lagi.
Selain IDH, MPOB juga telah menandatangani MoU bersama organisasi rangkaian antarabangsa yang menggalakkan pembinaan kapasiti, Solidaridad Network Asia Ltd bertajuk ‘National Initiative for Sustainable and Climate Smart Oil Palm Smallholders (NI-SCOPS)’.
IDH The Sustainable Trade Initiative dan Solidaridad adalah rakan pelaksana bagi pihak Belanda untuk kerjasama Program NI-SCOPS.
Menurut MPOB, projek tersebut yang dibiayai oleh rakan pelaksana akan menyediakan bantuan kepada pekebun kecil di Malaysia dan meningkatkan penyesuaian skim pensijilan mampan pekebun kecil melalui peningkatan amalan mampan.
“Skop kerja di bawah MoU ini akan menyumbang kepada pembangunan mampan industri sawit Malaysia terutamanya dalam memastikan kesediaan pekebun kecil sawit termasuk mengguna pakai skim pensijilan MSPO melalui pendekatan landskap.
“Ia akan mengeratkan hubungan kerjasama dan perkongsian strategik antara Malaysia dan Belanda dalam inisiatif kemampanan terutamanya untuk industri sawit serta menangani perubahan iklim,“ kata MPOB. -Bernama