Your Title

TANJONG KARANG: Peserta Felcra Berhad di seluruh negara akan dilibatkan untuk program ‘Beyond Benih’ iaitu program kebun komuniti British American Tobacco Malaysia Bhd (BAT Malaysia) dalam usaha memastikan keterjaminan makanan selain mengurangkan kebergantungan negara kepada sumber luar.

‘Beyond Benih’ merupakan program kebun komuniti BAT Malaysia yang menggalakkan masyarakat menanam sendiri pelbagai jenis tanaman yang dipilih mengikut amalan pertanian yang baik dan kemudian menjual hasil tuaian pada harga subsidi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata program yang dilaksanakan dengan kerjasama Felcra Berhad itu sekali gus membolehkan ia dibuat dengan skala besar.

“Ini kerana Felcra mempunyai 230,000 hektar (tanah) di seluruh negara yang melibatkan ladang, estet serta padi, selain, terdapat juga tanah yang tidak digunakan.

“Kita mesti lakukan dalam skala yang besar supaya kebergantungan kita kepada import dapat dikurangkan, bagi keterjaminan makanan, dan ia mesti dibuat secara holistik,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program ‘Beyond Benih’ peringkat nasional di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata program itu juga satu usaha mewujudkan komuniti pertanian yang boleh mencapai sara diri makanan.

“Kita import bahan makanan lebih RM60 bilion setahun, ia satu jumlah besar. Sebab itu selain Jabatan Veterinar, dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Felcra dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), kita memelihara lembu, kambing dan ayam untuk dipasarkan.

“Peneroka, pekebun kecil, peserta Felcra dan orang kampung turut dilibatkan. Soalnya kita lakukan dalam skala kecil, jadi mesti dilaksana pada skala lebih besar. Maka kebergantungan kepada barang import dapat dikurangkan,“ katanya.

Setakat ini di bawah BAT Malaysia terdapat dua kebun komuniti iaitu di Shah Alam dan Tanjong Karang. -Bernama