• 2025-07-13 03:39 PM

JOHOR BAHRU: Bangkai helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam kemalangan di Sungai Pulai, Gelang Patah pada Khamis lepas dijangka akan dinaikkan dalam masa terdekat, sama ada esok atau lusa.

Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Noor Sham Md Jani, berkata pihaknya akan dibantu oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi menjalankan kerja-kerja tersebut.

“Insya-Allah, dengan bantuan daripada agensi-agensi luar, proses menaikkan atau mengangkat bangkai helikopter ini akan berjalan lebih cepat, sekali gus membolehkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) menjalankan siasatan yang lebih mendalam mengenai insiden tersebut,” katanya selepas melawat mangsa di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Beliau turut menyatakan bahawa alat rakaman perhubungan komunikasi dipercayai masih berada di dalam bangkai helikopter. “Ia dipercayai masih lagi dalam helikopter, sebenarnya ia adalah perhubungan komunikasi antara helikopter dengan bahagian (petugas udara) di bawah. Kotak hitam tiada, kerana ia alat perhubungan komunikasi helikopter,“ jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital II HSA, Dr C. Mitesh, melaporkan bahawa kesemua lima mangsa nahas, termasuk dua yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), berada dalam keadaan stabil.

“Konstabel R. G. Devendran masih ditidurkan dan memerlukan bantuan pernafasan, manakala Koperal Adeline Liu Yan Siu yang tidak memerlukan bantuan pernafasan pula berada dalam keadaan stabil di ICU. Tiga mangsa lain yang dirawat di wad biasa juga masih dalam pemantauan,” katanya.

Kejadian berlaku pada 10.15 pagi Khamis lalu melibatkan sebuah helikopter jenis AS355N milik PDRM ketika menjalani latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025. Latihan itu melibatkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia, Thailand, dan Singapura di Jeti Maritim Gelang Patah.

Selain Devendran dan Adeline, kru lain yang terlibat ialah juruterbang helikopter ACP Faizul Mohammad, pembantu juruterbang Supt Ahmad Bustamin Baharom, dan anggota Balai Polis Tanjung Kupang Sarjan Siti Latipa Khairuddin. Kesemua mereka berjaya diselamatkan oleh pasukan Polis Marin.