KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat kecoh apabila Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) menuduh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menipu berhubung isu kutipan sampah seberat 20 tan selepas perhimpunan di ibu negara pada Sabtu lepas.
Nga menjelaskan angka itu berdasarkan laporan daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Beliau berkata kerajaan menghormati Perlembagaan Persekutuan dan menjulang prinsip demokrasi dengan membenarkan perhimpunan aman, namun ia perlu diadakan dengan aman dan tertib termasuk dalam soal menjaga kebersihan.
“Hal ini termasuk menjaga kebersihan, yang saya tegur sikap pengotor. Siapa makan cili, dia rasa pedas. Saya tak pernah kata Yang Berhormat (Pendang) yang buang sampah.
“ ... yang dikatakan sampah 20 tan itu bukan daripada saya. Itu laporan SWCorp yang saya terima di lapangan, sehingga ratusan pekerja kita dikerah untuk membersihkan sampah selepas perhimpunan baju hitam,“ katanya.
Selain Awang, beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) dan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) turut menyuarakan ketidakpuasan hati atas jawapan yang diberikan Nga.
Semalam, Nga dilaporkan berkata sebanyak 20 tan sampah dikutip selepas penganjuran perhimpunan berkenaan dan kerja-kerja pembersihan dilakukan hingga 3.30 pagi bagi memastikan kawasan terjejas kembali bersih.
Sementara itu, beliau berkata hingga kini, 23 tapak pelupusan tidak sanitari telah ditutup secara selamat dan melalui Pelan Penutupan dan Pemulihan Tapak Pelupusan Tidak Sanitari manakala 155 lagi tapak terbuka di seluruh negara akan ditutup secara berfasa sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) memberikan keutamaan kepada transformasi secara progresif daripada pelupusan sampah tidak sanitari kepada tapak pelupusan sampah sanitari yang dilengkapi loji rawatan leachate, berfungsi untuk merawat air larut resap yang dihasilkan daripada sisa buangan di tapak pelupusan.
Selain itu, beliau berkata KPKT turut memperkenalkan kaedah guna semula tapak yang ditutup dengan melaksanakan pemulihan tapak itu supaya selamat dan kemudiannya dibangunkan sebagai taman awam Lestari Park, ladang solar dan fasiliti komuniti untuk manfaat masyarakat setempat.
“Contoh kejayaan projek rintis Lestari Park adalah di Tapak Pelupusan Sampah Felda Bandar Tenggara yang sebelum ini menyimpan lebih 360,000 tan metrik sampah sejak 1999.
“Kini, dengan keluasan 7.56 hektar, ia menjadi sebuah taman rekreasi yang berkonsepkan stroller garden dilengkapi dengan komponen landskap yang direka bentuk dengan menarik selain komponen pemulihan alam sekitar terhadap tapak pelupusan,” katanya.
Beliau menjawab soalan asal Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai tindakan kementerian dalam menangani isu pencemaran bau dan air yang sering kali berlaku akibat tapak pelupusan sampah yang tidak dikawal selia dengan baik - BERNAMA